Eric Ng

KUALA LUMPUR – Kumpulan Syarikat ISP (ISP), sebuah firma hartanah yang mengkhusus dalam gudang logistik, hab pembuatan (LWMH) dan penginapan pekerja dibina khas (PBWA) menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) untuk mengambil alih sebuah hartanah industri di Plentong, Johor, dengan nilai keseluruhan RM35.1 juta.

Terletak di lokasi strategik di Taman Perindustrian Cemerlang, taman perindustrian seluas 600 ekar ini mempunyai sambungan yang sangat baik, termasuk akses melalui Persimpangan Ulu Tiram di Lebuhraya Senai-Desaru, dan hanya 20 kilometer dari pusat bandar Johor Bahru.

Hartanah ini, yang turut merangkumi anggaran kos berkaitan sebanyak RM1.8 juta, dijangka siap dalam tempoh tiga bulan, dengan lanjutan tambahan selama satu bulan sekiranya diperlukan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ISP Holding, Eric Ng berkata, pengambilalihan ini mencerminkan usaha berterusan ISP untuk mengukuhkan keberadaan dalam sektor hartanah industri sambil mencipta nilai jangka panjang bagi pemegang berkepentingan.

Kedudukan strategik hartanah ini dalam hab industri Mukim Plentong menjadikannya pilihan ideal untuk perniagaan logistik, pembuatan, dan pergudangan.

Beliau menambah, pengambilalihan ini juga mengukuhkan komitmen ISP untuk mengembangkan portfolio hartanah industri dengan melabur di lokasi berpotensi tinggi.

“Setelah siap, kami akan secara aktif mencari penyewa bagi hartanah ini, dan memanfaatkan permintaan terhadap ruang industri moden yang terletak di lokasi strategik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, projek ini terdiri daripada sebuah kilang/pergudangan berkembar setingkat dengan bangunan pejabat dua tingkat yang disambungkan merangkumi tanah pegangan bebas seluas 5.04 ekar dengan jumlah keluasan lantai kasar sebanyak 123,000 kaki persegi, termasuk 116,542 kaki persegi untuk pengeluaran dan penyimpanan, serta 6,458 kaki persegi diperuntukkan untuk ruang pejabat.

Kemudahan ini dilengkapi dengan lima dok pemunggahan dan kawasan pemunggahan terbuka yang mampu menampung sehingga sepuluh kontena 40 kaki.

Ia turut menampilkan sistem rak palet berkapasiti tinggi dengan kapasiti 2,000 palet, pemercik air dalam rak dua lapisan, serta ketinggian alang 12 meter di bahagian sisi dan 14.7 meter di bahagian tengah.

Bangunan ini juga mengintegrasikan ciri hijau moden, termasuk sistem fotovoltaik solar 351.5kWP yang diperakui untuk Meter Tenaga Bersih serta sistem pencahayaan LED pintar.

Menurut Ng, ISP telah melakukan perjanjian jual beli bagi pengambilalihan empat asset industri dengan jumlah kos RM188.5 juta, sekali gus mengukuhkan lagi kehadirannya dalam pasaran hartanah industri Malaysia.

“Melangkah ke hadapan, kami juga sedang meneroka potensi pengambilalihan hartanah industri baharu bernilai sekurang-kurangnya RM500 juta, menegaskan komitmen kami terhadap pertumbuhan mampan dan pengembangan strategik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here