M. Satees dan Dr. Muhamad Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sepatutnya berdiam diri dalam isu yang tidak ada kaitan dan tidak diketahuinya termasuk dalam isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India.

Setiausaha Interim Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), M. Satees berkata, tindakan Dr. Muhamad Akmal mengkritik Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berhubung isu itu jelas dibuat tanpa mengetahui sejarah sebenar kuil tersebut.

Sedangkan, kata beliau, kuil itu sudah wujud ketika era kerajaan kolonial serta sebelum Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditubuhkan.

Malah, ujarnya, DBKL sendiri selama ini mengiktiraf kewujudan kuil tersebut dan telah meluluskan tanah sementara kepada pihak kuil pada 2008, dengan janji untuk menggazetkannya secara rasmi.

Menurutnya, sejak itu juga, pihak pengurusan kuil kuil telah memohon untuk membeli tanah tersebut, tetapi DBKL menjualnya kepada syarikat swasta tanpa memaklumkan kepada mereka.

Malah, jelasnya, DBKL juga tidak mendedahkan janji mereka untuk menggazetkan tanah itu kepada pembeli baharu, dan kesemua perkara tersebut terkandung dalam dokumen rasmi.

“Tapi orang seperti Akmal tidak peduli tentang fakta, mereka hanya mahu menaikkan emosi orang ramai demi publisiti murahan sendiri.

“Kini, Jakel dan jawatankuasa kuil sedang berbincang untuk menyelesaikan kekeliruan yang ditinggalkan DBKL.

“Dalam masa yang sama, kerajaan Madani pula tergesa-gesa mahu menjalankan majlis pecah tanah untuk masjid, sedangkan perbincangan masih berjalan.

“Dan sekarang, Akmal mahu menyibuk dan menangguk di air keruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, tindakan Dr. Muhamad Akmal itu seolah-olah mahu menonjolkan diri sebagai juara Melayu dan Islam, sekali gus bertujuan menyaingi Pas.

Ironinya, kata beliau, pemimpin Pas sendiri tidak bertindak secara melulu dalam isu kuil itu yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

Terdahulu, Dr. Muhamad Akmal hari ini berkata, sebagai pemilik tanah yang sah, adalah tidak wajar untuk menggesa DBKL berbincang dan mencapai persetujuan dengan pihak kuil sebelum penjualan dibuat.

Penegasan Dr. Muhamad Akmal itu bagi menjawab kenyataan yang dibangkitkan Vigneswaran semalam yang mempersoalkan penjualan tanah terbabit kepada Jakel tanpa berbincang dengan pihak kuil serta mengambil tindakan mengalihkannya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here