KUALA LUMPUR – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) telah menubuhkan Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Kanun Keseksaan [Akta 574], Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] dan Akta Keterangan [Akta 56].
Penubuhan jawatankuasa ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh dan memodenkan sistem perundangan jenayah di Malaysia.
Selain itu ia adalah langkah strategik untuk memastikan sistem perundangan jenayah di Malaysia kekal relevan, berkesan dan berteraskan keadilan dalam menghadapi cabaran semasa, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan teknologi dan perubahan sosial.
Menurutya, sistem keadilan jenayah yang kukuh dan sejajar dengan keperluan semasa amat penting dalam memastikan hak asasi individu terpelihara serta memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan negara.
Jawatan kuasa ini dipengerusikan oleh Tan Sri Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Hakim
Mahkamah Persekutuan dan timbalan pengerusi, Datuk Ravinthran N. Paramaguru, Hakim Mahkamah Rayuan dan 25 ahli jawatan kuasa.
Jawatankuasa ini akan menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti peruntukan dalam Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Keterangan yang lapuk atau tidak lagi sesuai dengan realiti semasa dan selanjutnya mencadangkan pembaharuan kepada undang-undang tersebut.
Selain itu, jawatankuasa ini akan mengkaji dan mencadangkan pembaharuan undang-undang untuk meningkatkan kecekapan sistem keadilan jenayah bagi memastikan perbicaraan yang adil dapat dijalankan.
Katanya, kajian ini dijangka dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan melalui tiga fasa yang telah ditetapkan.
Bagi memperkukuh kajian ini, satu jawatankuasa ad hoc turut dibentuk, bagi memberi input teknikal dan strategik dari semasa ke semasa untuk memastikan setiap cadangan adalah menyeluruh dan sejajar dengan keperluan semasa.
Mereka terdiri daripada 12 orang ahli terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang perundangan, penguatkuasaan, teknologi dan masyarakat sivil yang mana pengerusi, ahli-ahli jawatankuasa dan ahli-ahli jawatankuasa ad hoc dilantik oleh Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi)
Manakala terdapat empat individu dari BHEUU dilantik sebagai sekretariat jawatankuasa ad hoc ini.
BHEUU berkata, penubuhan jawatankuasa dan jawatankuasa ad hoc ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan sistem perundangan jenayah negara terus maju dan mampu menangani cabaran baharu.
Hasil kajian dan cadangan yang bakal dikemukakan akan menjadi asas penting dalam memperkukuh prinsip kedaulatan undang-undang, meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan menjamin hak asasi individu dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia.
“Kerajaan Madani percaya bahawa melalui pembaharuan yang holistik dan menyeluruh, sistem keadilan jenayah negara akan menjadi lebih responsif, adil dan berkesan dalam memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berkembang,” katanya. – MalaysiaGazette