PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pukul 9.54 pagi hari ini.
Ismail Sabri yang hadir menaiki kenderaan berwarna hitam juga sempat melambaikan tangan kepada petugas media yang berkumpul di pekarangan Ibu Pejabat SPRM sebelum masuk memberi keterangan.
Rakaman percakapan itu diteruskan oleh SPRM selepas kali terakhir pada Rabu lalu.
Sebelum ini, sesi merakam keterangan Ahli Parlimen Bera itu ditangguhkan namun sumber SPRM tidak menyatakan sebab kepada penangguhan berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan terhadap Ismail Sabri susulan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya.
Ismail Sabri dikaitkan dengan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah safe house hasil serbuan SPRM.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – MalaysiaGazette