Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 28 MEI 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Permohonan Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar untuk kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman berkaitan titah adendum ke Mahkamah Tinggi diputuskan pada 28 April ini.

Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan Mohd. Dusuki dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar

Permohonan itu didengar oleh panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Peguam, Tania Scivetti hadir pada prosiding rayuan titah adendum Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Rayuan Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 MAC 2025

Terdahulu, Mohd. Dusuki berhujah, tujuh persoalan undang-undang yang dikemukakan menyentuh isu kepentingan awam yang belum pernah didengar dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.

Hujah beliau, antara persoalan itu sama ada bukti baharu atau tambahan yang akan mempunyai kesan undang-undang secara langsung atau tidak langsung, boleh dikemukakan dalam semakan kehakiman.

Persoalan lain, pada peringkat kebenaran semakan kehakiman, sama ada beban pembuktian mengenai kewujudan bukti baharu atau tambahan yang dipertikaikan, terletak atas kapasiti Peguam Negara.

Ia termasuk sama ada Peguam Negara pada peringkat kebenaran semakan kehakiman, memikul tanggungjawab undang-undang mengesahkan kewujudan dan menyediakan salinan dokumen yang dipertikaikan.

“Persoalan yang dikemukakan adalah kepentingan awam yang memerlukan penentuan mahkamah untuk memberikan panduan mengenai pendekatan yang betul dalam menangani permohonan bukti baharu atau tambahan di peringkat rayuan.

“Lebih-lebih lagi, perkara subjek dalam semakan kehakiman melibatkan pelaksanaan kuasa prerogatif tertinggi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang mencetuskan perdebatan serius dalam kalangan masyarakat,” hujah beliau.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir pada prosiding rayuan titah adendum Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Rayuan Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 MAC 2025

Sementara itu, Muhammad Shafee berhujah, permohonan kebenaran merayu wajar ditolak kerana persoalan undang-undang yang dikemukakan kini akademik kerana Mahkamah Rayuan sudah memutuskan titah adendum wujud.

Hujah beliau, bekas Perdana Menteri bukan mencabar keputusan Lembaga Pengampunan kerana tahanan rumah bukan diputuskan oleh lembaga berkenaan sebaliknya titah YDPA.

Pada prosiding itu, Peguam Negara memohon kebenaran untuk mengetepikan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman berkaitan titah adendum ke Mahkamah Tinggi.

Pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim bersidang membenarkan bekas Perdana Menteri mencabar kewujudan titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.

Pada 4 Februari lalu, AGC memfailkan notis usul mendapatkan kebenaran merayu berasaskan beberapa premis penting seperti pencanggahan dalam tafsiran undang-undang antara keputusan Mahkamah Tinggi dan penghakiman majoriti dan minoriti di Mahkamah Rayuan.

Najib memfailkan semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah agar kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh YDPA ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here