KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil langkah segera dalam menangani isu keselamatan jalan raya susulan insiden kemalangan yang meragut nyawa dua beradik di Jalan Felda Inas–Bandar Tenggara, Kluang, Johor pada Jumaat lepas.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau telah memanggil pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mendapatkan laporan terperinci berhubung kejadian tersebut.
Katanya, walaupun kerja tampalan segera telah diarah kepada syarikat konsesi, namun keperluan tindakan jangka panjang perlu bagi mengelakkan tragedi serupa berulang.
“Saya tegaskan, tindakan tidak boleh lagi bersifat reaktif, tetapi mestilah proaktif.
“KKR dan JKR perlu mengambil langkah segera untuk mengurangkan risiko kemalangan melibatkan aset jalan raya di bawah seliaan kementerian ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Alexander berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan, termasuk oleh pasukan forensik JKR, bagi mengenal pasti punca kemalangan.
Laporan penuh akan dikemukakan setelah hasil siasatan polis diperoleh.
“Dalam perbincangan bersama JKR, didapati jalan sepanjang 7.7 kilometer itu mengalami pelbagai kerosakan yang memerlukan pembaikan menyeluruh.
“Laluan utama bagi lori dan kenderaan berat yang keluar masuk kawasan Felda itu memerlukan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi kerja pembaikan kekal.
“Peruntukan tambahan tersebut akan dibawa ke Kementerian Kewangan untuk kelulusan bagi memastikan pembaikan dapat dilaksanakan secepat mungkin,” ujarnya.
Menerusi kenyataan sama, Nanta memberi amaran kepada syarikat konsesi penyenggaraan jalan raya agar melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan.
“Rondaan secara kerap perlulah dilaksanakan. Seiring dengan kemajuan teknologi, sudah tiba masanya syarikat konsesi mengadaptasi teknologi terkini dalam sistem pemantauan laluan seliaan mereka agar tiada lagi lokasi-lokasi yang terlepas pandang,” tegasnya.
Selain isu jalan di Kluang, Nanta turut memberi perhatian kepada kejadian hakisan tanah berhampiran Jambatan Jalan Bunga Raya di Felda Air Tawar 1, Kota Tinggi, Johor, yang berlaku semalam.
Insiden itu menyebabkan ‘embankment’ jambatan serta ‘approach bridge’ mengalami runtuhan, melibatkan kawasan sepanjang 20 meter dengan kedalaman kira-kira tiga meter.
“Sehubungan itu, jalan berkenaan terpaksa ditutup dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan. Pengguna dari Felda Air Tawar 1 ke Kota Tinggi atau Pengerang serta sebaliknya boleh menggunakan Jalan Anggerik sebagai laluan alternatif,” jelasnya.
KKR memerlukan tambahan peruntukan sebanyak RM800,000 bagi kerja pembaikan kekal dan permohonan akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan segera.
Dalam situasi cuaca tidak menentu dan bencana banjir yang sedang melanda Johor, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi arahan penutupan bagi memastikan keselamatan masing-masing.
“Elakkan mengambil tindakan sendiri jika berdepan sebarang kejadian bencana. Sebaliknya, segera laporkan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette