KUALA LUMPUR – Kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik dan peguam digesa daripada terus menghasut dan mencetuskan ketidakharmonian berhubung isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Ahli Majlis Kerja Tertiggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan tersebut akan menggangu proses perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan.
Menurutnya, pihak berkenaan juga perlu akur bahawa isu berkenaan perlu diselesaikan mengikut undang-undang.
“NGO dan peguam yang cuba jadi jaguh songsang mesti menghentikan provokasi yang menganggu proses perundingan antara pihak Jakel dan kuil Hindu. Berhentilah jadi batu api.
“Ahli politik pula jangan cuba main play safe. Ikut sahaja undang-undang. Tanah itu milik syarikat Jakel. Biar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur jadi orang tengah.
“Kena ingat, niat melaksanakan wakaf bagi pembinaan masjid merupakan hak beragama pemilik tanah. Macam mana jika tanah milik pihak kuil, ada surau lama di atasnya? Mesti kena pindah. Apakah Lawyers for Liberty (LFL) dan Ambiga akan campur tangan?” soal beliau.
Terbaharu, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan mempertahankan bahawa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah wujud sejak lebih 100 tahun lalu dan tidak pernah dipindahkan seperti dakwaan pihak tertentu.
Beliau menjelaskan hanya sebahagian struktur dirobohkan bagi kerja-kerja pelebaran jalan sejak kewujudan rumah ibadat tersebut di situ.
Menurutnya, umat Islam menganggap rumah ibadat tersebut ‘kuil haram’ kerana tidak mendapat maklumat sebenar.
“Kalau saya berada di tempat mereka (orang Islam) pun saya juga akan marah, sebab mereka tak dapat gambaran betul (mengenai kewujudan kuil berkenaan). Rumah ibadat ini sudah lebih 100 tahun, ia tak pernah dirobohkan,” katanya.
Pengarah LFL, Zaid Malek pula sekali lagi mencadangkan supaya Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dikekalkan di lokasi sedia ada manakala masjid yang baru dibina di atas tapak kosong bersebelahan.
Zaid yang mencetuskan idea tersebut semasa sidang media pada 20 Mac lalu mengulangi gesaannya itu sebagai respon terhadap kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan berkata masjid tersebut akan dibina di tapak berkenaan manakala tapak kuil akan diganti baru.
Sementara N Surendran yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty, berkata DBKL seolah-olah mencadangkan kerajaan tiada kaitan, memandangkan tanah tersebut milik persendirian.-MalaysiaGazette