KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Napsiah Khamis mengumumkan bertanding merebut jawatan Timbalan Ketua Wanita PKR pada pemilihan parti itu Mei ini.
Keputusan itu menyaksikan Napsiah sekali lagi cuba merebut jawatan kedua tertinggi sayap Wanita PKR sekali gus mencabar penyandangnya, Juwairiya Zulkifli.
Ia juga mengulangi pertembungan dengan Juwariya bagi merebut jawatan itu pada pemilihan 2022 yang mana ketika itu Napsiah tewas dalam pertembungan tiga penjuru bersama seorang lagi pencabar, Faizah Ariffin.
Sementara itu, Napsiah membuat keputusan bertanding jawatan tersebut dengan mengambil kira semangat dan roh perjuangan para pemimpin wanita terdahulu, Datin Fatimah Hashim dan F.R. Bhupalan.
Katanya, keputusan itu juga selepas mendapat restu daripada keluarga dan setelah berbincang dengan rakan-rakannya.
“Saya insaf cabaran besar menanti, pun begitu saya meyakini dapat memberikan pilihan kepada para anggota Keadilan dari sayap Wanita.
“Saya meyakini dapat memberikan sumbangan kepada perjuangan Keadilan yang juga mampu mengangkat perjuangan wanita ke aras yang lebih baik dan bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Napsiah, beliau sejak kecil telah diasuh untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi menyumbang kepada masyarakat dan negara.
“Asuhan inilah menjadi motivasi saya berbakti kepada masyarakat, menjadi cita-cita dan impian untuk mengangkat martabat kaum wanita di negara ini yang merupakan kesinambungan perjuangan pemimpin wanita terdahulu yang telah meletakkan solid foundation sejak dari sebelum merdeka dan di era awal kemerdekaan.
“Nikmat kemerdekaan serta pembangunan pesat hari ini tidak mungkin tercapai tanpa sumbangsih kaum wanita,” katanya.
Pada pemilihan PKR lalu, Napsiah tewas apabila hanya mendapat 14,282 undi berbanding Juwariya (17,743 undi) manakala Faizah hanya mendapat 11,071 undi. – MalaysiaGazette