KUALA LUMPUR – Sektor pelancongan domestik Malaysia mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan pada suku keempat 2024, dengan 66.8 juta pelawat, mencerminkan peningkatan ketara tahun ke tahun sebanyak 21.4 peratus.
Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, bilangan pelawat domestik menunjukkan peningkatan sebanyak 0.8 peratus.
Perbelanjaan pelancongan domestik turut melonjak sebanyak 21.9 peratus, berjumlah RM29.0 bilion dalam tempoh yang sama, manakala perbelanjaan pelancongan suku tahun ke suku tahun mencatatkan peningkatan ketara 13.4 peratus, sekali gus menekankan pertumbuhan teguh sektor itu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi kukuh pelancongan domestik Malaysia pada tahun 2024 berterusan sehingga suku tahun terakhir, menjadikan jumlah pelawat pada tahun tersebut kepada 260.1 juta, dengan peningkatan sebanyak 21.7 peratus berbanding 2023.
Selaras dengan peningkatan jumlah pelawat, perbelanjaan pelancongan domestik mencecah RM107.2 bilion, mencerminkan pertumbuhan tahun ke tahun yang kukuh, iaitu sebanyak 26.3 peratus.
Pertumbuhan dalam pelancongan domestik juga dicerminkan dalam prestasi industri berkaitan pelancongan.
Hasil daripada aktiviti zoo menyaksikan peningkatan sebanyak 15.6 peratus tahun ke tahun, menonjolkan daya tarikan terhadap hidupan liar.
Jualan runcit bahan api turut meningkat sebanyak 6.7 peratus, sejajar dengan aktiviti perjalanan domestic yang lebih tinggi, manakala ketibaan di lapangan terbang domestik meningkat sebanyak 6.1 peratus. Selain itu, volum trafik lebuh raya meningkat sebanyak 3.8 peratus, menandakan tahap mobiliti yang lebih tinggi dalam negara.
Perkembangan ini disokong oleh peningkatan ketara 14.1 peratus dalam hasil subsektor penginapan, yang menunjukkan permintaan kukuh terhadap perkhidmatan perjalanan domestik.
Industri hotel menunjukkan daya tahan yang kukuh dengan kadar penghunian untuk hotel empat bintang meningkat sebanyak 5.9 peratus, mencerminkan permintaan berterusan untuk pilihan penginapan mewah.
Destinasi pantai menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 12.1 peratus dalam kadar penghunian, menunjukkan peralihan ke arah percutian pantai, manakala kawasan bandar mencatatkan peningkatan sederhana sebanyak 0.7 peratus, menandakan pengagihan pelawat domestik yang lebih seimbang merentasi pelbagai destinasi.
Sektor pelancongan domestik Malaysia yang berkembang maju telah terbukti menjadi pemacu utama prestasi ekonomi negara.
Peningkatan dalam bilangan pelawat, ditambah dengan perbelanjaan pelancongan yang semakin meningkat, telah memperkukuh pelbagai industri yang menyokong kepada sektor itu, mengukuhkan peranan pelancongan dalam pembangunan ekonomi keseluruhan Malaysia.
Sumbangan positif daripada aktiviti ekonomi yang lebih meluas pada suku keempat ini dengan sektor perkhidmatan berkembang sebanyak 6.2 peratus tahun ke tahun pada suku keempat.
Subsektor pengangkutan menyaksikan pertumbuhan kukuh terutamanya dalam pengangkutan darat dan pengangkutan udara, masing-masing meningkat sebanyak 10.0 peratus dan 9.3 peratus, mencerminkan peningkatan pergerakan pelawat domestik dan antarabangsa.
Pertumbuhan pelancongan domestik Malaysia dijangka berkembang, dipacu oleh keyakinan pengguna yang berterusan, permintaan perjalanan yang tinggi dan sambutan musim perayaan akan datang.
Memandangkan sektor ini akan terus berkembang, sumbangan pelancongan kepada pembangunan ekonomi Malaysia kekal kritikal, mengukuhkan kedudukan pelancongan domestik sebagai asas kepada strategi ekonomi negara yang lebih luas. – MalaysiaGazette