KUALA LUMPUR – Polis giat mengesan seorang pemandu kenderaan yang memandu secara melawan arus di Kilometer (KM) 299, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara seperti tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan rakaman video tular itu dikongsikan di aplikasi X pada jam 9.50 pagi semalam.
“Berdasarkan pemerhatian video daripada lebuh raya itu, kenderaan terbabit tidak dikejar polis seperti yang didakwa dalam perkongsian video tular berkenaan.
“Bagaimanapun, polis kini sedang giat mengesan pemandu berkenaan yang memandu secara berbahaya dan melulu dan kes akan disiasat Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penguat kuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor M Somasureshan di talian 016-4915 193 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette