KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas menyeru kepada semua generasi muda turun beramai-ramai ke Kampung Sungai Baru Rabu ini bagi menyatakan sokongan dan solidariti kepada penduduk kampung itu.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, penduduk Kampung Sungai Baru tidak boleh dibiarkan bersendirian dalam mempertahankan hak mereka.

Jelas beliau, arahan pengosongan Kampung Sungai Baru sebelum Rabu ini bukan sekadar pemindahan biasa tetapi satu bentuk pengusiran tanpa nilai kemanusiaan yang mencabul hak penduduk tempatan.
Dakwanya, tanpa rundingan yang adil dan penyelesaian yang saksama, penduduk kampung itu dipaksa meninggalkan kediaman yang telah diwarisi mereka turun-temurun.
“Lebih menyayat hati, sebelum tempoh akhir yang ditetapkan, kawasan ini telah dipagarkan, seolah-olah menahan penduduk dalam ruang yang semakin mengecil.
“Keadaan ini menyebabkan mereka menyamakan Kampung Sungai Baru dengan ‘Little Gaza’ kerana ditekan, dizalimi, dan dinafikan hak oleh pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Afnan Hamimi, Kampung Sungai Baru bukan sekadar rumah kepada penduduknya, tetapi merupakan sebahagian daripada sejarah dan warisan bangsa.
“Tanah ini adalah Tanah Rizab MAS dan pemiliknya mempunyai geran yang sah. Hak mereka sepatutnya lebih utama berbanding kepentingan pemaju yang hanya mencari keuntungan semata-mata,” katanya.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diperoleh.
Terbaharu, penduduk unit flat yang terlibat dengan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) menerima notis pengosongan premis berkuat kuasa Rabu ini, menjelang beberapa hari sebelum Aidilfitri. – MalaysiaGazette