KUANTAN – Laluan Bulatan Mempaga (dari arah Bentong ke Raub) ke Susur Lebu di Jalan Persekutuan FT34 Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 11 sehingga 20 ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula hari ini.
Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bentong, penutupan laluan tersebut berkuatkuasa pada jam 12 tengah hari sehingga 4 petang.
Katanya, ia bagi memberi laluan pelaksanaan kerja-kerja jalan dan penyediaan Rehat dan Rawat (R&R) Sementara di kawasan terbabit.
“Manakala laluan bertentangan iaitu dari arah Raub ke Bulatan Mempaga dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) tiada penutupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pengguna jalan raya boleh mengambil laluan alternatif untuk meneruskan perjalanan ke Raub dalam tempoh terbabit iaitu:
i) Bulatan Mempaga – Mempaga (FT1498) – Raub (FT34)
ii) Lebu (FT08) – Mempaga (FT1498) – Raub (FT34).
Selain itu, katanya Jalan Persekutuan, Jalan LTU di Flyover Lebu juga ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula hari ini sehingga hari Rabu bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan jalan.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Bentong (MPB) memaklumkan pembukaan R&R Sementara Lebu dan R&R Sementara Mempaga untuk pengguna di laluan LTU mulai hari ini.
“Para pengguna lebuh raya dialu-alukan untuk menggunakan kemudahan yang disediakan bagi keselesaan sepanjang perjalanan. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
3.14 juta kenderaan dijangka masuk Pahang pada Aidilfitri ini