KUALA LUMPUR – Kemenerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan penyakit tibi bukan disebabkan oleh santau, buatan orang mahupun penyakit keturunan.
Sebaliknya, penyakit tibi merebak melalui titisan udara daripada pesakit yang belum menerima rawatan, sama ada ketika mereka batuk, bersin mahupun bercakap.
Oleh itu, amalan pencegahan seperti menutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin serta pemakaian pelitup muka sangat penting dalam membendung penularan jangkitan.
KKM berkata, saringan berkala amat digalakkan bagi golongan ini bagi memastikan pengesanan awal dapat dilakukan, sekali gus meningkatkan peluang sembuh sepenuhnya.
Menurunya, tibi adalah penyakit berjangkit yang boleh disembuhkan sepenuhnya dengan rawatan yang konsisten dan mengikut saranan pengamal perubatan.
“Golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti tibi termasuklah kontak rapat kepada pesakit tibi, individu yang menghidap HIV, pesakit buah pinggang kronik, mereka yang menghidap penyakit pulmonari kronik serta perokok aktif,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Tibi Sedunia hari ini.
Sambutan ini bagi memperingati penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882 – detik penting dalam sejarah perubatan dunia.
“Bersama Hentikan Tibi: Perkasa Komitmen, Dana dan Perkhidmatan” adalah tema sambutan Hari Tibi Sedunia 2025 di Malaysia, selari dengan tema global ‘Yes! We Can End TB: Commit, Invest, and Deliver’.
KKM berkata, antara gejala penyakit tibi adalah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, hilang selera makan,
penurunan berat badan dan dalam sesetengah kes, batuk berdarah.
Individu yang mengalami gejala ini disarankan untuk menjalani pemeriksaan segera di fasiliti kesihatan berhampiran bagi mendapatkan
rawatan awal.
Menurutnya, kes baharu tiba pada tahun 2024 adalah sebanyak 26,183 peningkatan kecil sebanyak 34 kes atau 0.1 peratus berbanding 26,149 pada tahun sebelumnya.
Namun, kadar insiden dan kadar kematian menunjukkan trend penurunan mencerminkan impak berterusan intervensi kesihatan awam, sungguhpun berdepan cabaran besar dalam usaha penghapusan tibi sepenuhnya.
“KKM komited dalam memperkukuh sistem perkhidmatan kawalan tibi negara melalui pelbagai pendekatan antaranya penggunaan teknologi diagnostik terkini yang lebih cepat, tepat dan mesra pengguna; pengukuhan sistem pemantauan pesakit bagi memastikan pematuhan rawatan; serta peningkatan kapasiti petugas kesihatan dalam pengurusan tibi yang berkesan.
“Sempena Hari Tibi Sedunia 2025, KKM menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberi komitmen bersama ke arah penghapusan tibi.
“Dengan memperkasa komitmen, dana dan perkhidmatan, kita mampu menjadikan misi ini satu realiti,” katanya sambal menyeru agar pesakit tibi tidak wajar disisihkan, sebaliknya masyarakat harus menunjukkan sokongan dan empati kerana penerimaan komuniti adalah elemen penting dalam kejayaan rawatan dan pemulihan. – MalaysiaGazette