KUALA LUMPUR – Permohonan bagi Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) Perdana (Institusi TVET Awam Sahaja) Ambilan Julai 2025 dibuka mulai 14 April hingga 15 Jun 2025.
Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, permohonan itu bagi memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan individu yang berminat meneroka bidang kemahiran yang relevan dengan industri.
“Justeru, saya menyeru semua lapisan masyarakat agar memanfaatkan peluang ini dan menjadikan TVET sebagai pilihan utama kerjaya.
“TVET bukan sahaja membuka laluan pekerjaan yang luas, tetapi juga membentuk tenaga kerja yang lebih berdaya saing dalam pasaran global,” katanya menerusi kenyataan.
Maklumat lanjut mengenai permohonan boleh dilayari menerusi pautan di https://mohon.tvet.gov.my.
Terdahulu Ahmad Zahid berkata, saluran portal UP_TVET diperkenal sejak 2023 bagi menyelaraskan permohonan kemasukan ke semua institusi TVET yang lebih fleksibel, mengikut keperluan dan minat individu berdasarkan dua kategori iaitu UP_TVET Perdana (Institusi TVET Awam Sahaja) dan UP_TVET Flexi (Institusi TVET Awam & Swasta).
UP_TVET Perdana menawarkan program TVET sepenuh masa di Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang mana permohonannya dibuka dua kali setahun bagi pengambilan Januari dan Julai.
“Manakala UP_TVET Flexi menyediakan kursus jangka panjang dan pendek yang lebih fleksibel. Terbuka kepada semua individu yang ingin meningkatkan kemahiran atau menukar bidang kerjaya. Permohonan dibuka sepanjang tahun bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar dan tenaga kerja,” tambahnya.
Ahmad Zahid berkata, sehingga kini, terdapat 1,398 institusi TVET, terdiri daripada 673 institusi TVET awam, 697 institusi TVET swasta, dan 28 institusi TVET di bawah kerajaan negeri.
“Ekosistem TVET yang luas dan dinamik ini menawarkan program kemahiran yang sejajar dengan keperluan industri serta perkembangan ekonomi semasa,” katanya lagi.- MalaysiaGazette