GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah ke Indonesia yang didalangi warga tempatan selepas merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM6.52 juta.
Serbuan di tiga lokasi berasingan sekitar Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara bermula Sabtu sehingga semalam itu turut membawa kepada tangkapan dua lelaki yang berperanan sebagai koordinator.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, hasil operasi itu membawa kepada rampasan 1,938 paket plastik mengandungi serbuk MDMA seberat 38.8 kilogram (kg) bernilai RM6.42 juta, heroin (6.8 kg) bernilai RM65,000, syabu (946 gram) RM30,000 serta ketamin (50.4g) RM10,000.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati pemandu lori berusia 27 tahun itu bersama penganggur berumur 20 tahun terlibat dalam kegiatan ini sejak awal tahun ini.
“Hasil soal siasat juga mendapati mereka memperoleh bekalan dadah dari tempat lain sebelum melakukan pembungkusan semula di negeri ini untuk diseludup keluar ke Indonesia menerusi jalan laut.
“Suspek dikatakan menerima upah berjumlah RM3,000 bagi setiap penghantaran.
“Kita juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan aset dan kewangan sindiket untuk tindakan pelucuthakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Tambah Hamzah, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun semakan menunjukkan mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 29 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette