PERMATANG PAUH – Kecekalan seorang wanita menjaga dua abangnya uzur termasuk seorang berstatus orang kelainan upaya (OKU) dalam rumah pusaka yang semakin daif sekali lagi mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Takdir mempertemukan mereka semula dengan insan yang pernah menyelamatkan rumah itu 30 tahun lalu menerusi Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang melawat rumah wanita dikenali Woon, 57, sebelum merangka kerja baik pulih.
Steven Sim menerusi hantaran di Facebook berkata, rumah peninggalan keluarga yang menjadi tempat Woon bersama Ah Kong, 59, yang terlantar sakit manakala Ah Keong, 62, OKU mental berteduh itu semakin reput dan hampir tidak selamat didiami.

Jelas beliau, pada tahun 90-an, keluarga itu hampir diusir akibat ditipu namun diselamatkan oleh Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.
Kata beliau, mendiang kakak Woon pernah bertemu Anwar secara langsung sebelum beliau menghulurkan bantuan untuk memastikan rumah itu kekal milik mereka.
“Saya dimaklumkan mengenai keadaan keluarga ini dan apabila bertemu dengan Woon, dia mengeluh tiada siapa yang sudi membantu.

“Kemudian saya meyakinkannya agar tidak perlu risau kerana Perdana Menteri sendiri meminta saya turun padang untuk membantu dan ketika itu saya belum tahu keluarga ini pernah dibantu individu sama tiga dekad lalu.
“Kami berjanji membaiki kediaman itu supaya tiga beradik berkenaan dapat hidup lebih selesa dan dalam tempoh sebulan, rumah itu berjaya dibaik pulih serta dibina semula,” katanya.
Tambah Steven Sim, beliau turut bekerjasama dengan Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Muhammad Hamdi Mohd Noor bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada Woon.
“Kisah Woon menjadi bukti bagaimana kepimpinan berjiwa rakyat mampu mengubah kehidupan mereka yang memerlukan. Inilah semangat Malaysia Madani yang terus diperjuangkan,” katanya. – MalaysiaGazette