Para prospek bergambar bersama-sama para Pegawai Penjara pada majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 25 MAC 2024.

KAJANG – Seramai 601 banduan dari 34 institusi penjara di seluruh negara telah dibebaskan secara lesen bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kesemua banduan yang dibebaskan sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB) telah memenuhi syarat kelayakan yang ketat termasuk berkelakuan baik sepanjang tempoh tahanan dan mengikuti program pemulihan yang disediakan.

“Pelepasan ini selaras dengan Akta Penjara 1995 dan mengambil kira aspek keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. Ia bertujuan memberi peluang kepada banduan yang layak untuk kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat dalam usaha menyokong pemulihan serta integrasi sosial mereka,” menurut kenyataan itu.

Para prospek berjalan keluar dari penjara pada majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 24 MAC 2025.

PBSL merupakan sebahagian daripada inisiatif Ihsan Madani yang menekankan kepentingan pemulihan secara holistik selain memperkukuh hubungan kekeluargaan.

“Jabatan Penjara Malaysia percaya bahawa setiap individu berhak mendapat peluang kedua untuk memperbaiki diri dan kembali berbakti kepada masyarakat,” kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, mereka yang dibebaskan di bawah PBSL masih menjalani hukuman dan hanya diberikan lesen untuk berada di luar bagi menjalani baki tempoh hukuman tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan.

Sepanjang tempoh PBSL, mereka tidak perlu melaporkan diri ke balai polis tetapi akan dipantau oleh Pegawai Parol Daerah yang akan membuat penyeliaan berkala.

Para prospek berjalan keluar dari penjara pada majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 24 MAC 2025.

Selain itu, mereka juga perlu menghadiri program intervensi di Pejabat Parol Daerah.

Bagaimanapun, tiada pemakaian Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) dikenakan terhadap OBB ini.

Peserta termuda dalam program ini berusia 21 tahun manakala yang tertua berusia 68 tahun.

Pelepasan kali ini turut melibatkan empat banduan wanita dari Penjara Wanita Kajang (tiga orang) dan Penjara Wanita Kota Kinabalu (seorang).

Semua banduan yang dibebaskan akan dipantau secara berterusan oleh pihak berkuasa bagi memastikan mereka mematuhi syarat pelepasan dan tidak mengulangi kesalahan lampau.

Jabatan Penjara turut menggesa masyarakat agar menerima mereka yang diberi peluang kedua  dengan terbuka bagi membantu mereka menyesuaikan diri dalam komuniti.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here