GEORGE TOWN – Kehidupan mewah sepasang suami isteri membawa kepada pembongkaran kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dan Eramin 5 yang didalangi mereka sejak awal tahun ini.
Masing-masing mereka yang merupakan penganggur itu diberkas polis dalam serbuan di kediaman mereka di Permatang Pauh dekat sini antara jam 9 malam, Sabtu lalu sehingga 4 pagi semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 4,939.5 gram syabu bernilai RM158,384 dan 10 keping aluminium foil mengandungi 100 biji pil Erimin 5 seberat 28 gram bernilai RM2,500.
“Hasil siasatan mendapati dadah yang dirampas itu untuk pasaran tempatan dan pasangan ini aktif dalam kegiatan haram ini sejak Januari lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Selain rampasan dadah, kita turut menyita dua buah kereta, motosikal, seutas jam tangan serta wang tunai dengan nilai keseluruhan berjumlah RM177,100.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dalam operasi ini berjumlah RM377,984,” katanya lagi.
Tambah Hamzah, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, selain tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
“Kedua-duanya mereka kini direman tujuh hari bermula sehingga 29 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette