KUALA LUMPUR – Para penuntut institusi Pendidikan tinggi (IPT) yang terpilih dalam Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP: Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa melahirkan rasa syukur dan gembira kerana dapat bertemu keluarga di kampung dan berkesempatan berbuka puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Senyuman dan tawa kegembiraan terpapar di wajah-wajah mereka tatkala melangkah masuk ke dalam bas-bas yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membawa mereka pulang ke pangkuan keluarga masing-masing malam tadi.
Apatah lagi, difahamkan ada dalam kalangan mereka berpeluang menyambut bulan Ramadan dan beraya Bersama-sama keluarga tahun ini selepas tidak berkesempatan berbuat demikian pada tahun lalu akibat kekangan kewangan.
Pelajar Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Muhammad Nur Zulfiqar Muhammad Zulkifli, 22, berkata, dia sangat bersyukur dan terharu kerana terpilih dalam program ini, sekali gus membolehkan dia melepaskan rindu kepada keluarga kerana pada tahun lalu tidak berkesempatan pulang ke kampung untuk beraya bersama.

“Saya sangat bersyukur dengan adanya program ini kerana tahun lepas saya tak dapat balik beraya bersama mereka. Ini tahun kedua saya di sini dan alhamdulillah akhirnya dapat pulang,” katanya dengan gembira.
Muhammad Nur Zulfiqar antara 646 pelajar IPT yang terpilih yang berlepas pulang dengan 19 bas dari Universiti Teknologi Malaysia malam tadi,
Program “Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa” merupakan sebahagian daripada inisiatif Rahmah Madani Ramadan MAIWP bagi memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara.
Pelepasan Program “Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im di Universiti Teknologi Malaysia, malam tadi.
Dengan peruntukan RM1.6 juta, program ini membantu seramai 5,427 pelajar dari tujuh institusi pengajian tinggi di Wilayah Persekutuan pulang ke kampung halaman melalui pembiayaan tiket bas, kapal terbang dan wang saku.
Muhammad Nur Zulfiqar berkata, bantuan yang diberikan oleh MAIWP dan pembayar zakat sangat bermakna baginya kerana dapat meringankan beban mahasiswa yang berdepan kesukaran kewangan.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak MAIWP, pembayar zakat dan semua yang terlibat kerana membantu mahasiswa seperti kami untuk pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga,” ujarnya.

Rakannya, Wan Nurhajar Fathiah Wan Azhari, 24, pula berkata, bantuan inj bukan sahaja membolehkannya pulang ke Pasir Mas, Kelantan, tetapi juga memberi kelegaan kerana berkesempatan berbuka puasa dan menyambut Hari Raya bersama keluarga.
“Saya rasa sangat gembira kerana program ini memberi peluang kepada saya untuk menjalani ibadah Ramadan dan terus beraya dengan keluarga. Syukur sangat.
“Sesungguhnya program seumpama ini juga amat membantu saya, terutamanya bagi pelajar yang kekurangan wang untuk membeli makanan serta barangan keperluan lain,” katanya dengan nada sebak.

Penuntut Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Muhammad Nes Auri Amir, 20, turut menzahirkan rasa terima kasih dan syukur kerana dapat pulang ke Kedah selepas sekian lama tidak bertemu keluarga.
“Saya amat gembira kerana sudah lama tidak pulang ke kampung. Terpilih menyertai program ini satu rahmat Allah dan kesyukuran yang tak terhingga buat saya. Inisiatif ini dapat membantu saya dari segi menampung kos perjalanan balik kampung saya.
“Syukur, terima kasih MAIWP,” katanya yang mengakui tidak sabar untuk bertemu keluarga. – MalaysiaGazette