Tangkap layar kliv video tular peniaga nangka di tepi jalan persekutuan di Raub dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Daerah Raub (MDR)

KUANTAN – Tindakan penguatkuasaan terhadap seorang peniaga nangka di bahu Jalan Bentong – Gua Musang dekat Raub dibuat atas faktor keselamatan.

Pegawai Daerah Raub, Datuk Khuzaidi Haron berkata, tindakan diambil kerana peniaga berkenaan menjalankan perniagaan di atas rizab jalan persekutuan bukan sahaja membahayakan keselamatan peniaga terbabit tetapi juga pembeli dan pengguna jalan raya lain.

“Keadaan ini amat membahayakan kerana kenderaan dipandu laju di jalan raya tersebut, walaupun mungkin tidak sepanjang masa. Risiko kemalangan tetap tinggi bagi peniaga serta pembeli yang berhenti di situ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan klip video berdurasi lebih dua minit yang tular di media sosial yang memaparkan seorang peniaga wanita memarahi beberapa anggota Majlis Daerah Raub (MDR) ketika menjalankan operasi di lokasi terbabit.

Menurut Khuzaidi, pihaknya turut menerima aduan daripada masyarakat setempat menyatakan peniaga-peniaga di situ menghalang pandangan pemandu, terutama di simpang keluar masuk ke kampung.

Malah beliau turut dimaklumkan kemalangan maut membabitkan peniaga pernah berlaku di laluan tersebut sebelum ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Ops Nangka telah dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun lalu.

“Pada 24 Mac tahun lalu, JKR Raub telah mengemukakan permohonan bagi melaksanakan penguatkuasaan terhadap gerai-gerai peniaga nangka yang beroperasi tanpa kelulusan di atas rizab jalan persekutuan, Jalan Bentong – Gua Musang, Raub.

“Kali pertama Ops Nangka dilaksanakan pada 6 Jun tahun lalu dengan penyertaan Majlis Daerah Raub (MDR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana sembilan gerai telah disita oleh MDR hasil operasi tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast