BAYAN LEPAS – Seorang wanita mengalami kerugian kira-kira RM50,000 selepas stor penyimpanan barangan elektrik serta tiga motosikal miliknya musnah dalam kebakaran di Jalan Teluk Tempoyak di sini semalam.
Kejadian pada pukul 10 malam itu hanya disedari Noraishah Saad, 61, selepas dimaklumkan jirannya.
Menurut Noraishah, dia keluar bersama ibunya yang berusia 86 tahun bagi menyelamatkan diri sebaik menyedari kebakaran tersebut.

“Stor tersebut baru dibina beberapa bulan lalu dan digunakan untuk menyimpan mesin basuh serta peti sejuk selain menjadi tempat berehat.
“Saya selalu berada di dalam stor itu tetapi bernasib baik kerana pada waktu kejadian saya berada dalam rumah. Jika tidak mungkin keadaan akan menjadi lebih teruk,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Bayan Baru, Azman Mohd Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.07 malam sebelum bergegas ke lokasi bersama pasukan bomba sukarela dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kebakaran itu membabitkan stor yang digunakan sebagai bilik rehat dan api marak dengan cepat kerana jarak stor dengan rumah hanya dua meter.
“Operasi pemadaman sedikit mencabar kerana laluan masuk ke lokasi sempit, selain pili bomba berada agak jauh. Namun pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah utama.
“Kira-kira 90 peratus stor tersebut musnah bersama tiga motosikal yang diparkir berhampiran namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.
Tambah beliau, operasi pemadaman tamat pada pukul 11.26 malam. – MalaysiaGazette