Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberi sumbangan makanan kepada pengguna pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Kontinjen Selangor Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya LEKAS. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 MAC 2025

KAJANG – Sebanyak 1.6 juta kenderaan dijangka keluar dan masuk Selangor sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Ops Lancar akan bermula lebih awal, iaitu dari 23 Mac hingga 6 April 2025, bagi memastikan aliran trafik terkawal terutama di kawasan yang dijangka mengalami kesesakan tinggi.

Manakala Ops Selamat 24 pula pada 29 Mac hingga 3 April 2025 bagi memastikan kelancaran trafik serta mengurangkan kadar kemalangan sepanjang musim perayaan.

“Tujuh lokasi operasi perangkap had laju telah dikenal pasti, manakala 18 lokasi Ops Lancar akan dijalankan di seluruh negeri Selangor.

“Antara lokasi yang terlibat adalah Plaza Tol Gombak dan Jalan KL-Karak di daerah Gombak, Jalan Klang-Teluk Intan serta Jalan Kuala Selangor-Rawang di Kuala Selangor, Jalan KL-Ipoh dan Teluk Intan di Shah Alam, serta Plaza Tol Teluk Intan di Sepang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya LEKAS, Kajang, Selangor, hari ini.

Menurutnya, seramai 71 pegawai kanan dan 646 pegawai rendah polis akan digerakkan sepanjang operasi ini.

Selain itu, sebanyak 49 buah kereta peronda dan 87 motosikal akan digunakan bagi tujuan pemantauan dan rondaan di lokasi strategik.

“Selain itu, operasi rondaan akan dilakukan di seluruh daerah di Selangor, melibatkan 21 lokasi sekatan jalan raya dan 36 lokasi pemantauan lalu lintas bagi mengawal kesesakan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” tambahnya.

Ops Selamat dan Ops Lancar turut mendapat kerjasama daripada agensi lain seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, serta syarikat konsesi lebuh raya.

Polis turut menyediakan saluran bantuan bagi orang ramai yang ingin melaporkan insiden atau mendapatkan bantuan kecemasan.

Mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan Trafik Bukit Aman di talian 03-2266 3356, Bilik Gerakan Trafik Selangor di 03-5511 0559, atau CCC Selangor di 03-5514 5206. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here