Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke 218 Tahun 2025 di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PULAPOL) Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri memaklumkan sebanyak 134 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Kelantan berhampiran sempadan negara telah ditutup bagi membanteras pelbagai aktiviti penyeludupan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq dikerahkan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan.

Selain itu, katanya, Pasukan Polis Marin (PPM) dan PGA juga memainkan peranan besar dalam mengawasi kawasan sempadan yang berisiko tinggi.

“Kawalan sempadan negara adalah satu aspek penting dalam keselamatan.

“Kita mengambil pendekatan ‘Omnipresence’ bagi memastikan kehadiran anggota di lokasi strategik seperti di masuk utama (contohnya Bukit Kayu Hitam, Padang Besar, Kalimantan),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara (KSN),Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Menurut Saifuddin Nasution lagi, bagi keselamatan sempadan maritim, pemantauan sepanjang masa dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menerusi Ops Pagar Laut.

Jelasnya, langkah itu bagi mencegah kemasukan pendatang tanpa izin, penyeludupan dadah, dan jenayah rentas sempadan.

“Kawalan sempadan juga turut membabitkan pengawasan laluan pantai dan batu nautika, yang dikendalikan oleh PPM dengan kerjasama pihak berkuasa negeri dan kerajaan Kelantan.

“Ini membuktikan kesiapsiagaan tertinggi pasukan Polis, termasuk pada musim perayaan,” katanya.

Saifuddin berkata, Malaysia kini. berada di kedudukan ke-10 sebagai negara paling aman di dunia daripada 163 negara yang dinilai berdasarkan pelbagai indikator keselamatan.

“Penilaian menggunakan Global Peace Index (GPI) sebagai kayu ukur yang diterima di peringkat antarabangsa. Pada tahun 2023, kita berada di kedudukan ke-19 secara keseluruhan.

“Satu lagi indikator yang kita gunakan adalah kedudukan Malaysia dalam Tier 2 bagi memerangi pemerdagangan manusia.

“Penilaian ini dilakukan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, kerana jenayah pemerdagangan manusia dianggap sebagai salah satu jenayah yang diberi perhatian tinggi,” kata Saifuddin Nasution lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here