KUALA LUMPUR – Seramai 500 peserta daripada 300 keluarga telah menyertai program Keluarga Hatimurni Bersama Al-Quran bagi mengimarahkan 10 hari terakhir Ramadan dengan alunan bacaan ayat suci al-Quran.
Program julung kali itu anjuran Pusat Pembelajaran Pendidikan Islam Hatimurni yang bertujuan menghayati al-Quran secara beramai sempena Quran Hour.
Pengasas pusat itu, Ustazah Siti Khadijah Mohni berkata, program itu merupakan salah satu kempen Hatimurni dalam menghidupkan Ramadan dengan mengajak ibu bapa dan anak-anak secara berjemaah mengkhatam al-Quran.
“Hatimurni julung kali diadakan sempena Quran Hour Keluarga Hatimurni Bersama Al-Quran 2025 dan telah mengumpulkan lebih 500 peserta yang terdiri daripada 300 buah keluarga untuk mengukuhkan pasukan Hatimurni bersama keluarga pelajar Hatimurni.
“Program hari ini sangat hebat kerana saya melihat sendiri bagaimana komitmen ibu bapa untuk menyokong anak-anak di mana mereka datang awal dan sanggup duduk di bersila untuk program Halaqah dari waktu Dhuha sehingga tengah hari.
“Ramai ibu bapa yang beri sokongan untuk anak-anak membawa al-Quran dan mendengar anak-anak membaca malah anak-anak juga mendengar bacaan ibu bapa sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara program lain yang berlangsung ialah Solat Dhuha berjemaah, bacaan al-Quran dalam keluarga secara berkumpulan, diketuai oleh Daie Fuad dan Tausiyah al-Quran Ustaz Hafiz Za’farani.
Melihatkan kepada perkembangan positif program itu, Siti Khadijah berkata, pihaknya mahu membuka platform lbesar untuk lebih ramai peserta pada tahun akan datang.
Kata beliau, pihaknya akan menyusun program itu lebih baik dan membuka penyertaan kepada 1,000 peserta termasuk peserta luar.
“Ramadan adalah masa terbaik untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan melalui ibadah bersama sambil mendidik masyarakat tentang pentingnya infaq.
“Antara perkara lain untuk kami mendidik ibu bapa menghidupkan bulan Ramadan ialah memberikan suasana membaca al-Quran dan berinfak.
“Program Quran Hour ini adalah salah satu daripada lima program di bawah Program Infaq Kasih Ramadan D Hatimurni .
Antara program lain ialah edaran 2,500 pek beras di 32 lokasi, edaran 10,000 pek bubur lambuk setiap Jumaat dan Sabtu sepanjang Ramadan, majlis berbuka puasa bersama 1,000 mualaf dan persediaan baju raya untuk anak yatim,” katanya. – MalaysiaGazette
