Khairin-Nisa (kanan) dan Mas Imran (dua kiri) menyerahkan baucar kepada keluarga Norlia di Pasaraya Econsave Taman Daya, Johor Bahru hari

JOHOR BAHRU – “Ketika terperangkap di tingkat atas sementara menunggu air banjir yang mencecah hingga dua meter surut, kami sekeluarga hanya berkongsi makan roti untuk mengisi perut ketika waktu berbuka selain bergelap tanpa lilin.

“Malah saya juga tidak dapat membancuh susu anak bongsu berusia setahun tiga bulan dan terpaksa memujuk anak-anak tidur dalam keadaan kepanasan.”

Demikian cerita seorang mangsa banjir, Norlia Abdul Rashid, 29, semasa bencana alam itu melanda rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di sini minggu lalu.

Dia, anak-anaknya dan keluarga jiran terperangkap di tingkat empat hampir 10 jam selain tanpa bekalan elektrik dan makanan selama dua hari.

Suri rumah itu berkata, keadaan pada masa itu amat sukar, dia dan jiran-jiran hanya berdoa agar keadaan tidak bertambah buruk serta mereka segera diselamatkan.

“Memang ia sesuatu pengalaman sukar dilupakan sepanjang hayat apabila kami 10 beranak dan semua keluarga jiran terperangkap di tingkat empat.

“Saya dan jiran-jiran hanya bersangka baik dengan Allah SWT, memperbanyakkan doa dan berikhtiar. Keadaan pulih selepas banjir kemudian surut,” ujarnya.

Norlia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima baucar beli-belah daripada Pasaraya Econsave Taman Daya di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismaildan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.

Norlia juga bersimpati dengan nasib penduduk di tingkat bawah di flat berkenaan yang kehilangan harta benda termasuk kelengkapan rumah, kenderaan selain pelbagai persiapan Aidilfitri.

“Apapun saya bersyukur kerana semua penduduk selamat dan selepas ini kami sekeluarga akan meneruskan membuat persiapan Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Khairin-Nisa berkata, pihaknya menyalurkan bantuan segera sebanyak RM300 dan bantuan bulanan persekolahan RM1,000 kepada anak wanita itu.

“Kami sedar kepayahan mereka yang hanya bergantung kepada pendapatan ketua keluarga sejumlah RM1,700 sebulan bagi menyara lapan anak berusia setahun tiga bulan hingga 13 tahun.

“Diharap mereka menggunakan segala bantuan dan sumbangan diperoleh dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Mas Imran berkata, keluarga berkenaan menerima baucar membeli-belah sejumlah RM1,000.

“Diharap keluarga berkenaan dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria pada tahun ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here