KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan menyangkal dakwaan kononnya parti itu ditubuhkan oleh bekas ahli-ahli UMNO yang kecewa dan gagal dalam UMNO.
Sebaliknya, Ketua Badan Pimpinannya, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, ramai ahli Bersatu bukan berasal daripada UMNO, tetapi merupakan individu yang tidak percaya terhadap pemimpin kleptokrat dalam UMNO.
Tegas beliau, ahli-ahli Bersatu juga merupakan mereka yang mempunyai matlamat dan hala tuju jelas iaitu untuk memastikan orang Melayu mempunyai platform sebenar dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, iaitu perjuangan yang sudah ditinggalkan UMNO.
Sehubungan itu, jelasnya, apabila Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin membuat kenyataan sedia bekerjasama dengan mana-mana politik termasuk UMNO, seruan itu adalah bermatlamat untuk menyelamatkan dan mengukuhkan kuasa politik orang Melayu menerusi gabungan parti-parti politik Melayu.
“Adakah UMNO tidak nampak matlamat dan hala tuju ini?
“Adakah UMNO sudah tersesat jauh daripada prinsip ABATA (agama, bangsa, tanah air) sehingga mempersoal dan memperkecilkan parti sesama bangsa sendiri yang ikhlas ingin selamatkan bangsa dan seterusnya menyelamatkan negara daripada pelbagai kerosakan yang telah dibuat oleh Kerajaan PH-BN ini?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Hanifah yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menjawab kenyataan Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim semalam supaya Bersatu dibubarkan dan kembali kepada UMNO.
Ini kerana, kata Ismail, Bersatu bukanlah natijah kepada usaha memperkukuh bangsa Melayu, sebaliknya hanya melemahkan kuasa politik orang Melayu dengan menjadi parti serpihan yang tiada hala tuju jelas.
Malah, kata Ismail, pemimpin-pemimpin yang menubuhkan Bersatu juga adalah mereka yang gagal dalam UMNO dan dipenuhi dengan jiwa kekecewaan yang tinggi.
Sementara itu, Mohamad Hanifah mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak lupa kepada sejarah yang mana ketika Bersatu bersama Pakatan Harapan (PH) pada 2018, UMNO-BN buat pertama kalinya tumbang dan Perdana Menteri ketika itu dilantik daripada pemimpin Bersatu.
Malah, kata beliau, Bersatu juga pernah memimpin gabungan tiga parti Melayu dan menjadi Perdana Menteri kali kedua ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Di mana pemimpin UMNO ketika UMNO bergabung dengan PH sekarang? Adakah pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri? Adakah nasib orang Melayu terbela kini?” katanya.
Sehubungan itu, katanya, UMNO sepatutnya lebih insaf, tidak bongkak dan ikhlas untuk kembali bergabung dengan PN yang kini semakin mendapat sokongan kukuh rakyat sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.
“Sokongan rakyat ini kerana kami memperjuangkan nasib orang Melayu tanpa menyisihkan orang bukan Melayu sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan. Adakah matlamat Bersatu dan PN ini salah?” katanya. – MalaysiaGazette