Di sebalik kegembiraan pencarum wajib yang memperoleh dividen tertinggi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh tujuh tahun sebanyak 6.30 peratus bagi 2024, turut mengukir senyuman adalah pencarum sukarela yang semakin menyedari kepentingan untuk menyimpan demi kesejahteraan di usia emas.
Dengan cabaran ekonomi sepanjang tahun lalu yang menyaksikan institusi-institusi pelaburan berusaha keras untuk memberi pulangan kompetitif KWSP berjaya menunjukkan prestasi kewangan yang membanggakan melalui pelaburan yang berhemah.
Ini membuktikan keupayaan dan kemampuan pengurusan pelaburan KWSP, sekali gus menambah keyakinan kepada orang ramai untuk menjadikan dana simpanan persaraan itu sebagai antara pilihan utama institusi pelaburan masa kini.
Tidak hairan, saban tahun, KWSP menyaksikan penambahan jumlah pencarum sukarela yang memilih institusi itu untuk menambah simpanan mereka dalam jangka masa panjang. Trend positif ini didorong oleh pulangan dividen yang berdaya saing dan konsisten yang menarik minat ahli untuk menambah simpanan secara sukarela.
Sepanjang tahun lalu, jumlah pencarum sukarela KWSP meningkat sebanyak 32 peratus kepada hampir 1.2 juta orang berbanding seramai 902, 213 orang pada tahun sebelumnya.
Program i-Saraan mencatatkan peningkatan yang kukuh pada tahun 2024, dengan penyertaan meningkat sebanyak 38% kepada 529,667, sekali gus membolehkan lebih ramai pekerja sektor tidak formal menyimpan untuk persaraan.
Jumlah caruman i-Saraan juga meningkat dengan ketara sebanyak 83% daripada RM1.44 bilion pada tahun 2023 kepada RM2.64 bilion pada tahun 2024.
Jumlah caruman sukarela yang memberangsangkan menunjukkan keyakinan dan kesedaran tinggi pencarum untuk membina simpanan persaraan mereka dengan KWSP.
Pencarum sukarela boleh menambah simpanan mereka di KWSP pada bila-bila masa melalui aplikasi mudah alih KWSP i-Akaun, perbankan internet atau di kaunter KWSP. Had caruman minimum ditetapkan pada RM1 dan maksimum RM100,000 setiap tahun.
Selain itu, pengenalan Akaun Fleksibel turut menarik minat pencarum sukarela dalam kalangan pekerja gig dan yang tiada pendapatan tetap memilih KWSP sebagai institusi pelaburan untuk membina tabung persaraan mereka.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam, Dr. Razli Ramli yang menyifatkan KWSP antara institusi pelaburan yang stabil bagi mereka yang mahu memastikan kehidupan lebih selesa pada usia persaraan.
Ujar beliau, dividen yang ditawarkan oleh KWSP saban tahun juga sentiasa mengatasi kadar inflasi negara, sekali gus memastikan simpanan persaraan milik pencarumnya terus berkembang.
Lebih menarik, KWSP turut menawarkan Simpanan Shariah sebagai pilihan yang telah dipisahkan sepenuhnya portfolio daripada Simpanan Konvensional bagi mengoptimumkan pulangan dalam jangka panjang melalui alokasi aset strategik tersendiri. Bagi tahun 2024,kadar dividen Simpanan Shariah adalah setara dengan Simpanan Konvensional pada kadar 6.30 peratus. meningkatkan lagi keyakinan terhadap prestasi pelaburan patuh syariah.
“Jika kita lihat kepada kadar dividen KWSP yang sekitar lima hingga enam peratus saban tahun, ia sebenarnya kadar yang selari dengan pelaburan berisiko sederhana atau tinggi sekiranya pencarum melabur di institusi pelaburan swasta.
“Tetapi mereka mendapat kadar dividen yang berdaya saing dan konsisten itu di KWSP dalam keadaan pelaburan mereka selamat,” kata Razli
“Apatah lagi negara kita sedang menuju kepada negara menua di mana akan lebih ramai warga emas, jadi simpanan KWSP ini sangat penting pada masa hadapan meneruskan kehidupan yang lebih selesa,” katanya.
– MalaysiaGazette