FAIZAH Ariffin mengumumkan akan merebut jawatan Timbalan Ketua Wanita PKR pada pemilihan Mei depan.

KUALA LUMPUR – Perebutan jawatan Timbalan Ketua Wanita Keadilan Pusat pada Mei ini bakal mengulangi pertarungan tiga penjuru seperti pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2022, apabila Datin Faizah Ariffin mengumumkan akan bertanding merebut jawatan itu.

Bekas Naib Ketua Wanita Keadilan itu berkata, keputusan bertanding sekali lagi merebut jawatan kedua tertinggi sayap Wanita PKR tersebut bukan dibuat semata-mata kerana inginkan jawatan.

Sebaliknya, kata beliau yang merupakan ahli Cabang Keadilan Kuala Langat, ia merupakan cabaran kepada beliau untuk memikul tanggungjawab lebih besar di dalam parti.

“Wanita PKR memerlukan pimpinan yang boleh terus membawa suara dan aspirasi wanita ke pentas yang lebih tinggi, mengorak langkah dan memaknai perjuangan reformasi.

“Pemilihan ini adalah proses untuk memilih yang terbaik dari yang terbaik. Pemilihan ini adalah cerminan demokrasi yang subur dalam keluarga besar Keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dengan pengumuman itu, Faizah sekali lagi mencuba nasib merebut jawatan Timbalan Ketua Wanita Keadilan Pusat, sekali gus mencabar penyandangnya, Juwairiya Zulkifli.

Semalam, turut mengumumkan akan bertanding merebut jawatan itu ialah bekas Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis.

Pada pemilihan PKR lalu, Juwariya memenangi jawatan itu selepas mendapat 17,743 undi manakala Napsiah dan Faizah masing-masing mendapat 14,282 dan 11,071 undi.

Sementara itu, Faizah berkata, beliau tidak pernah lari meninggalkan perjuangan PKR walaupun sayap Wanita tersebut dilihat hampir lumpuh apabila sebahagian pemimpinnya meninggalkan parti berkenaan.

“Saya tetap teguh bersama dalam membina semula kekuatan dengan menyusur ke setiap akar umbi wanita,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here