JOHOR BAHRU – Seorang mangsa banjir tidak dapat melupakan pengalamannya bersama-sama bapa menyelamatkan mangsa banjir menggunakan bot getah semasa bah melanda kawasan Tampoi di sini Khamis lalu.

Mohd Afiq Yuzaini, 30, berkata, antara paling meninggalkan kesan semasa meredah banjir sejauh satu kilometer menolak bot getahnya bagi menyelamatkan lebih 100 murid Sekolah Kebangsaan Taman Tampoi Utama di sini.

Dia bersama-sama ayah dan tiga jirannya berulang alik lebih 30 kali bagi menyelamatkan mangsa banjir yang terkandas di sekolah berkenaan serta kawasan berhampiran.

Lebih mencabar, katanya, bot getahnya itu bocor dan perlu dipam secara manual dari masa ke semasa bagi memastikan ia selamat digunakan ketika menyelamatkan mangsa banjir dari pukul 11 pagi hingga 8.30 malam.

“Mengimbau kejadian itu, saya dapat tahu daripada jiran yang anak-anak mereka terperangkap di sekolah kira-kira pukul 10.30 pagi. Saya tak fikir panjang dan terus pam bot getah dan bersama jiran lain membantu untuk angkat sebab kawasan sini belum banjir lagi.

“Kami berulang alik menolak bot itu satu kilometer lebih 30 kali dari pagi sampai malam selamatkan murid sekolah dan mangsa banjir lain. Ketika menuju sekolah, ada yang menjerit minta tolong, itu juga kami bantu.

“Memandangkan kawasan banjir tidak begitu dalam, enjin tak dapat digunakan. Bila melalui tempat yang dalam sampai ke paras leher, kami akan berpaut pada bot dan berkayuh ke tempat yang selamat,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Vila Rose, Taman Tampoi Indah, di sini hari ini.

Mohd Afiq Yuzaini berkata, ayahnya, Yuzaini Mohd Yusop, 55, sanggup datang dari Singapura ke Johor Bahru untuk bersama-samanh membantu mangsa banjir yang terkandas.

Mohd Afiq yang bekerja sebagai pemandu e-hailing itu merasa puas dapat membantu mangsa banjir yang terdiri daripada kanak-kanak, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan pesakit kronik.

“Saya fikir saya ada bot, jadi saya kena berbuat sesuatu, tak boleh berdiam diri. Jangan kata orang tua tak berdaya, haiwan peliharaan turut kami bantu pindahkan ke tempat selamat,” ujarnya.

Menurutnya, ketika sibuk menyelamatkan mangsa banjir di kawasan sekitar, dia tidak menyedari bahawa rumah sendiri telah dinaiki air hingga ke paras lutut.

“Apabila dimaklumkan jiran bahawa kawasan perumahan terlibat banjir, kami sempat balik ke rumah. Isteri dan anak lelaki berusia 11 bulan serta dua kucing peliharaan naik ke tingkat dua apabila air mula naik.

“Segala barang elektrik seperti peti ais, televisyen, perabot dan barangan berharga lain tidak sempat diselamatkan.

“Ayah sempat menyelamatkan kereta saya dengan mengalihkan ke kawasan lebih tinggi namun keretanya tak sempat diselamatkan dan rosak dinaiki air,” ujarnya.

Katanya, dia bersama-sama bapa dan jirannya sempat berbuka puasa di atas bot dengan buah kurma dan air mineral yang diberikan guru sekolah terbabit.

“Kalau ikutkan, memang penat dan rasa lenguh itu masih ada tapi naluri kebapaan mendorong kami untuk terus kuat. Kini, sibuk pula dengan hendak mengemas rumah yang dinaiki banjir ini.

“Banjir kali ini adalah yang terburuk sejak kediaman ini dibuka, ini kali pertama Villa Ros banjir sehingga ada kediaman di paras tingkap. Banyak kenderaan terperangkap kerana ketika itu waktu bekerja.

“Barang di rumah banyak yang rosak dengan anggaran kerugian lebih RM10,000, sampai sekarang belum siap kemas lagi. Kalau cakap pasal raya, memang saya rasa tak raya tahun ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

Caption gambar: Mohd Afiq dan Yuzaini di rumahnya di Vila Rose, Taman Tampoi Indah, Johor Bahru hari ini, menunjukkan bot getah yang banyak berjasa menyelamatkan murid sekolah yang terperangkap banjir, Khamis lalu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here