Nor Azizi merakam kenangan dalam Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Kepentingan integriti perlu ditekankan sebagai tunjang utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain terus meningkatkan profesionalisme serta kecekapan.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Johor, Senior Asisten Komisioner Nor Azizi Maarof berkata, langkah tersebut sejajar dengan slogan Sedia Berkhidmat yang melambangkan komitmen PDRM dalam mengutamakan kepentingan masyarakat dan negara.

Selain itu katanya, PDRM akan terus teguh mendepani evolusi cabaran dalam memelihara kedaulatan negara.

Nor Azizi berkata, prinsip ‘striving for excellence’ menjadi pegangan setiap anggota PDRM dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, sekali gus menyumbang kepada kestabilan dan keamanan serantau.

“PDRM akan terus teguh mendepani evolusi cabaran dalam memelihara kedaulatan negara selain memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.

“Selaras dengan rukun Kemampanan Dasar Madani, tema Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada terus diangkat sebagai asas kepada usaha memperkukuh kerjasama antara PDRM dengan masyarakat serta pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

“Justeru, ikrar taat setia kepada raja, negara, kerajaan serta pucuk pimpinan pasukan harus dihayati dan diamalkan oleh seluruh warga Sang Saka Biru,” katanya.

Nor Azizi berkata demikian ketika membacakan perutusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Katanya, PDRM menggesa semua pasukan untuk meningkatkan kolaborasi dengan pelbagai pihak, termasuk pemain industri tempatan dan antarabangsa.

Jelasnya, ini merupakan usaha meningkatkan profesionalisme serta kecekapan dalam menyelesaikan siasatan dan tugas-tugas kepolisan.

Sementara itu, Nor Azizi berkata, kejayaan PDRM dalam mengekalkan keselamatan negara turut bergantung kepada sokongan daripada kerajaan, pasukan keselamatan sahabat, media, serta rakyat.

Justeru katanya, seluruh warga PDRM diminta untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan dengan berpegang kepada nilai mesra, adil, luhur, amanah, yakin, setia, islah, dan arif (MALAYSIA) yang menjadi aspirasi kepada reformasi perkhidmatan awam.

“Masyarakat adalah tonggak utama dalam memastikan kejayaan pasukan ini. PDRM menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan selama ini.

“Marilah kita bersama-sama mempertingkatkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM dan memartabatkan pasukan ini sebagai sahabat utama serta pasukan keselamatan yang cemerlang di peringkat antarabangsa,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here