Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika melakukan gimik pelancaran ‘Perwira Super App’ pada majlis berbuka puasa bersama dengan Menteri Pertahanan dan Pengamal Media di Royale Chulan Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 25 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Seramai 100 pesara Angkatan Tentera Malaysia diberi peluang menyertai Program Tanaman Halia dan Program Cili Fertigasi dan Program Usahawan Tani Veteran bagi menjana pendapatan dalam bidang keusahawanan tani.

Inisiatif JanaVeteran yang dilancarkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merupakan hasil kerjasama antara Bousted Plantations Berhad (BPlant) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Katanya, BPlant akan menyediakan plot fertigasi di atas tanah seluas 105 hektar kepada pesara tentera yang terpilih dengan 80 hektar diperuntukan bagi penanaman halia dan baki 25 hektar penanaman cili.

“Inisiatif JanaVeteran, halia dan cili fertigasi ini dimulakan dengan Projek Perintis di Kota Tinggi, Johor. BPlant akan menyediakan 15 plot fertigasi melibatkan 15 peserta di atas tanah seluas 12 hektar.

“Setiap peserta berpotensi menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan. Melalui program ini, veteran ATM yang terlibat disasarkan dapat mengeluarkan 3,500 metrik tan halia setahun dan 350 metrik tan cili setahun dalam tempoh 3 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika melancarkan JanaVeteran pada Majlis Berkuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Pengamal Media 2025 hari ini.

Program Usahawan Tani Veteran pula membuka peluang kepada pesara tentera untuk menjadi usahawan di dalam bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman kontan yang tersenarai di dalam program Keterjaminan Makanan Negara.

BPlant telah mengenal pasti 300 hektar tanah milik BPlant di Semenanjung Malaysia untuk diusahakan dengan tanaman kontan.

Turut dilancarkan adalah PERWIRA Super App yang merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) Network dengan kerjasama Mastercard International bagi kegunaan komuniti di bawah Kementerian Pertahanan.

Fungsi termasuk menyediakan perkhidmatan kewangan bagi menyemak status terkini gaji, dompet digital yang selamat, pembayaran bil dan analisis kewangan bagi meningkatkan literasi kewangan serta kesejahteraan pengguna.

Aplikasi tersebut turut berfungsi sebagai E-Marketplace yang membolehkan komuniti MINDEF membuat pembelian atas talian di e-Marketplace dan PERNAMA Online Store.-MlaaysiaGazatte.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here