Zulkifli Bujang memberi bantuan kepada mangsa banjir semasa melawat Kampung Sri Jaya, Tampoi, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Pihak bertanggungjawab yang menguruskan bantuan untuk keluarga mangsa banjir perlu mengurangkan karenah biokrasi sekali gus memudah dan mempercepat proses permohonan mereka.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Johor Bahru, Zulkifli Bujang berkata, ramai mangsa termasuk warga emas dan keluarga miskin di Kampung Sri Jaya, Tampoi, mengadu berdepan pelbagai syarat birokrasi yang ditetapkan.

“Johor sekali lagi berdepan bencana banjir yang telah menjejaskan ribuan penduduk di beberapa kawasan, termasuk di Johor Bahru bermula 20 Mac lalu.

“Dalam lawatan ke Kampung Sri Jaya, Tampoi, saya mendapati hampir keseluruhan kampung ini dilanda banjir, menyebabkan banyak kediaman terjejas teruk dan penduduk menghadapi kesukaran dalam meneruskan kehidupan seharian.

“Penduduk memaklumkan bahawa mereka masih belum menerima sebarang bantuan, walaupun telah berusaha untuk mendaftar dengan pihak berkuasa terbabit,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, pihak berkuasa perlu turun padang mengumpulkan data mangsa banjir dengan segera dan menyalurkan bantuan tanpa membebankan rakyat yang sedang dalam kesusahan.

“Ketika banjir tempoh hari, PPS berhampiran telah penuh, menyebabkan ramai mangsa banjir, termasuk warga emas dan keluarga miskin, tidak dapat berlindung di situ dan terpaksa mencari alternatif sendiri.

“Justeru, proses pendaftaran bantuan yang dikenakan ke atas penduduk menjadi rumit, di mana mereka diminta mengisi borang, mendapatkan kelulusan ADUN, mengambil gambar keadaan rumah dan memenuhi pelbagai syarat lain sebelum bantuan dapat diberikan.

“Dalam keadaan darurat seperti ini, adalah tidak wajar untuk meletakkan beban birokrasi kepada mangsa banjir, lebih-lebih lagi ramai dalam kalangan mereka adalah warga emas yang tidak berupaya menguruskan dokumen dengan sempurna,” katanya.

Sementara itu, beliau menggesa kerajaan negeri, sektor korporat dan syarikat berkaitan seperti SWM Environment Sdn Bhd untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan segera bagi membersihkan sisa-sisa banjir.

Longgokan sampah dan lumpur yang tertinggal katanya, bukan sahaja mencacatkan persekitaran, malah boleh menjadi punca wabak penyakit jika tidak dikendalikan dengan baik.

“Jika penduduk terpaksa menyewa lori sendiri untuk membuang sampah, ini akan menambah beban kewangan mereka, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir.

“Saya berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa dan badan-badan berkaitan bagi memastikan kebajikan mangsa banjir di Kampung Sri Jaya mendapat perhatian sewajarnya,” jelasnya.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat tidak seharusnya dibiarkan menghadapi kesukaran ini sendirian dan semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan pemulihan kawasan yang terjejas dapat dilakukan secepat mungkin.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here