JOHOR BAHRU – Operasi Pembersihan Pasca Banjir dari kawasan terjejas banjir di negeri ini dijangka mengutip 500 metrik tan sisa pukal membabitkan lokasi bandar raya ini, Kulai, Kota Tinggi, Kluang dan Iskandar Puteri.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, kerja-kerja pembersihan itu yang membabitkan 200 tenaga kerja dan 40 kenderaan jentera bermula sejak Jumaat lalu.
Beliau memberitahu, dalam tempoh lima hari operasi dijalankan, lebih 250 metrik tan sisa banjir seperti almari, katil dan tilam yang rosak sudah dibersihkan di kawasan terjejas.
“Kita jangkaan sehingga hari Sabtu ini, anggaran kurang seminggu sebelum Syawal sebanyak 500 metrik tan sisa dapat dibersihkan.
“Kalau lihat dari segi pembersihan yang dijalankan dalam tempoh lima hari, kita berjaya mengutip 250 metrik tan sisa banjir dengan purata sehari 50 hingga 60 metrik tan.
“Antara kawasan kutipan sisa yang tinggi adalah di Taman Tampoi Indah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, Kampung Seri Jaya dan Kampung Seri Serdang.
“Turut membabitkan Kampung Sepakat Jaya dan Kampung Sinaran Baru di Kulai; Kampung Pulai Gelang Patah, Kampung Maju Jaya, Batu 8 ½ Skudai, dan Taman Jaya (Iskandar Puteri); Taman Kemang dan Taman Aman (Kota Tinggi) serta Taman Tiara Perdana dan Taman Layang-Layang (Simpang Renggam),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melihat perkembangan Operasi Pembersihan Pasca Banjir di Villa Rose, Taman Tampoi Indah di sini, hari ini.
Mohd Norlisam berkata, sebahagian besar sisa pukal yang dibersihkan adalah perabot, katil, tilam, sofa dan almari pakaian.
Beliau turut memohon agar semua mangsa banjir dan sukarelawan yang terlibat untuk mengumpulkan sisa di hadapan rumah, bagi melancarkan proses kutipan sisa.
“Dua tapak pemindahan sementara dibuka di Taman Tampoi Indah di sini dan Kampung Pasir, Skudai untuk kutipan sisa banjir bagi melancarkan pembersihan dari rumah ke rumah agar pembersihan lebih berkesan dan dapat dilakukan sebelum ketibaan Syawal.
“Dari tapak pemindahan sementara ini kita akan kutip terus ke tapak pelupusan sampah,” ujar beliau.
SWM Environment juga katanya, bersedia untuk menerima permohonan penggantian tong sampah beroda (TSB) yang rosak atau hanyut akibat banjir secara percuma.
“Permohonan penggantian boleh dibuat secara dalam talian di halaman eLU Dashboard melalui laman sesawang rasmi SWM Environment di pautan www.swm-environment.com.
“Sekiranya tong sampah hilang akibat banjir, pemohon perlu membuat laporan polis dan melampirkan bersama salinan laporan polis tersebut dalam permohonan yang dibuat secara dalam talian. Penggantian akan dibuat secepat mungkin,” katanya.- MalaysiaGazette