KUALA LUMPUR – Putrajaya tidak akan tunduk kepada ugutan penggodam yang menuntut USD10 juta kerana menyerang Sistem digital Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan serangan siber itu berlaku satu atau dua hari lalu.
“Saya dimaklum (mengenai serangan siber terhadap MAHB).
“Alhamdulillah bulan Ramadan saya tak tunggu 5 saat saya terus jawab ‘Tidak’,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Polis ke 218 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.
Hadir adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan memutuskan untuk tidak tunduk kepada penjenayah itu dan sebaliknya merancang untuk memperuntukkan lebih banyak dana untuk mempertingkatkan keselamatan sistem siber Malaysia.
“Semalam kita bicara tentang serangan siber dan hacking (penggodaman) dan agak berat terhadap MAHB dalam satu dua hari yang lalu.
“Jadi perbincangan bagaimana menyelesaikan termasuk tuntutan daripada penggodam untuk memperolehi dana 10 juta dollar atau sebagainya.
“Tidak mungkin negara ini akan selamat Kalau pimpinannya dan sistemnya mengizinkan kita tunduk kepada ‘kata dua’ penjenayah,” katanya lagi.
Anwar bagaimanapun tidak memperincikan tujuan sebenar serangan siber itu terhadap MAHB. – MalaysiaGazette