ALOR GAJAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan mengenal pasti titik panas berisiko menjadi lokasi jenayah maritim dari kawasan perairan Dumai, Indonesia menghubungkan Kuala Sepang, Selangor.
Timbalan Pengarah Operasinya, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, pihaknya sentiasa peka dan bersedia mengawasi kawasan itu biar pun belum terdapat kes penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) sepanjang tahun ini.
“Titik panas di perairan ini memerlukan pengawasan berterusan kerana penyeludupan bukan sahaja melibatkan PATI, malah juga barangan kawalan seperti minyak masak dan beras.
“Operasi pemantauan dilaksanakan tujuh hari seminggu dengan kehadiran sekurang-kurangnya 20 anggota dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Op Khas Pagar Laut di sempadan perairan Indonesia dan Malaysia di sini, lewat petang semalam.
Mengulas lanjut, Norrimi berkata, sekurang-kurangnya 60 peratus aset dan anggota Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan sedia untuk digerakkan bagi pemantauan dan operasi sepanjang masa terutama pada musim perayaan Aidilfitri kali ini.
Tambahnya, kawalan ketat di pintu masuk utama negara juga berkemungkinan akan mendorong sindiket penyeludupan untuk menggunakan laluan laut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Ini terutamanya di kawasan yang menghubungkan perairan Dumai, Indonesia, ke perairan Sepang, Selangor sebab itu pasukan kita akan terus mempergiat rondaan dan operasi sekatan di perairan Melaka bagi mengekang kesalahan ini.

Maritim Malaysia sentiasa peka dan bersedia mengawasi kawasan yang menghubungkan perairan Dumai, Indonesia, ke perairan Sepang, Selangor
“Operasi akan diteruskan dengan lebih secara agresif bagi memperkukuhkan lagi keselamatan perairan negara,” tegasnya lagi.
Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim boleh membantu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,
Tahun lalu, sebanyak 394 pemeriksaan telah dilaksanakan dan dua buah kapal tanker ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu berlabuh tanpa kebenaran serta melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS). – MalaysiaGazette