KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pelaku yang maki dan mengugut seorang jurujual berketurunan Dayak dalam insiden tular yang berlaku di Central i-City Shah Alam, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tindakan tersebut jelas menunjukkan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang dijunjung.

Lebih mendukacitakan lagi, insiden ini turut melibatkan perkataan berbaur perkauman yang tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama ini.

Setiap individu di negara ini berhak untuk dihormati tanpa mengira latar belakang etnik, agama, atau status sosial mereka, katanya.

“Kementerian Perpaduan Negara tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana kaum di negara ini.

“Tindakan yang bersifat perkauman dan tidak bertamadun seperti ini harus ditangani dengan serius,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan ini turut berkongsi video tular dan gambar pelaku.

Aaron mengingatkan semua rakyat Malaysia agar terus menjaga keharmonian dan perpaduan yang telah lama dibina oleh rakyat negara ini.

Jelasnya, setiap individu mempunyai peranan penting dalam memastikan negara ini terus maju dengan penuh kasih sayang, hormat-menghormati, dan saling memahami antara satu sama lain.

Facebook Persatuan Anak Borneo Semenanjung -ABS melaporkan, insiden penuh emosi berlaku di sebuah kedai aiskrim apabila seorang jurujual wanita berketurunan Dayak dari Miri, Sarawak, dilemparkan kata-kata kesat dan diugut akan digari hanya kerana bertanyakan syiling 50 sen kepada pelanggan.

Jurujual yang terlibat memaklumkan kepada ABS  kejadian itu bermula apabila seorang lelaki, bersama isteri dan anaknya, memesan aiskrim yang berharga terdapat lebihan 50 sen

Setelah memproses pesanan, wanita berkenaan sekadar bertanya sama ada pelanggan tersebut mempunyai syiling untuk memudahkan urusan bayaran.

Namun, pertanyaan itu menyebabkan lelaki berusia sekitar 40-an itu tiba-tiba naik angin.

Dia terus meninggikan suara, walaupun isteri beliau cuba membantu dengan membuka beg tangannya untuk mencari syiling.

Malangnya, si suami menghalangnya dengan kasar,” kata jurujual tersebut.

Dalam keadaan tertekan, wanita ini cuba menjelaskan bahawa mesin wang di kedainya mengalami kerosakan, yang menyebabkan bunyi kuat setiap kali ia dibuka.

Walaupun telah meminta maaf berkali-kali, lelaki tersebut tetap tidak mahu menerima penjelasannya.

Apa yang lebih melukakan hati jurujual tersebut adalah apabila lelaki itu melemparkan kata-kata berbaur perkauman, dengan menyebut “Cina memang macam itu”.

Jurujual itu menyatakan rasa kesalnya kerana lelaki itu terus membuat andaian berdasarkan rupa parasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here