KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan penangguhan sementara pengosongan premis di Kampung Sungai Baru sehingga rayuan yang difailkan penduduk didengar dan diputuskan.
Pengosongan tersebut sepatutnya dibuat sebelum 10 pagi, esok.

Peguam yang mewakili penduduk, Azura Mokhtar berkata permohonan itu difailkan bagi memastikan proses pengosongan tidak dilakukan sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan terhadap rayuan yang telah dikemukakan oleh penduduk mengenai kesahihan pemilikan unit oleh pihak pemaju.
“Mahkamah hari ini membenarkan permohonan penangguhan sementara, dan pihak peguam akan memfailkan afidavit jawapan serta afidavit balasan sebelum perbicaraan penuh bagi permohonan ini pada 22 April 2025,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Katanya, permohonan itu melibatkan tiga penduduk yang mewakili empat unit flat, walaupun secara keseluruhan, seramai 108 penduduk terkesan dalam isu ini.

Tambahnya, sebahagian unit telah dirobohkan, manakala ada penduduk yang telah berpindah atau tidak mengambil sebarang tindakan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi pada 15 November 2024 telah memutuskan memihak kepada pemaju dan mengarahkan pengusiran penduduk.
Susulan itu, tiga penduduk berkenaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 27 Januari 2025 bagi mencabar keputusan tersebut.
Setakat ini, status rayuan masih dalam proses sebutan dan belum mempunyai tarikh perbicaraan.- MalaysiaGazette