JASIN – Kes jenayah penipuan dalam talian di daerah ini meningkat lebih 300 peratus kepada RM1.9 juta pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, tahun lalu, ia mencatatkan kerugian RM451,330 daripada jumlah kes yang turut meningkat daripada 35 kes kepada 74 kes.
Menurutnya, kebanyakan mangsa adalah kakitangan awam dan pesara yang kehilangan wang simpanan sehingga hampir setengah juta ringgit.
“Contohnya, ada kes seorang kontraktor lelaki berusia 50-an kerugian simpanan berjumlah RM352,000 akibat terpedaya dengan iklan pelaburan palsu yang menjanjikan keuntungan banyak dan singkat di Facebook.
“Mangsa terpedaya selepas dijanjikan keuntungan kira-kira RM2 juta menyebabkan dia melakukan bayaran secara berperingkat sehingga akhirnya berjumlah RM352,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 Peringkat Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Jasin di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Rusli menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dengan taktik-taktik sindiket penipuan dalam talian yang.

Mohamad Rusli (tengah) bersama sebahagian pegawai dan anggota IPD Jasin pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 Peringkat Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Jasin di Jasin, hari ini.
Sementara itu dalam tempoh sama jelasnya, indeks jenayah daerah sepanjang tahun lalu menurun sembilan peratus kepada 171 kes berbanding 188 kes pada tahun sebelumnya.
“Sebahagian besar kes jenayah yang menyumbang kepada penurunan adalah pecah rumah serta curi tabung masjid dan kita percaya ini adalah ekoran peningkatan program-program keberadaan polis dalam komuniti.
“Ini juga disumbang melalui langkah-langkah pencegahan selain kempen kesedaran dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan seperti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF),” tambahnya. – MalaysiaGazette