JOHOR BAHRU – Seorang remaja berusia 14 tahun antara 36 individu yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dilakukan serentak seluruh negeri dari 10 Mac hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor itu dilakukan dua minggu berturut-turut.
“Hasilnya JSPT menahan seramai 28 individu warga tempatan berusia antara 14 hingga 36 tahun dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM15,000 dan penjara sehingga lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dalam operasi tersebut pihaknya turut menyita 291 buah motosikal mengikut Seksyen 64(1) akta yang sama.
Selain itu katanya, sebanyak 2,768 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan ketiadaan lesen memandu merupakan paling tertinggi iaitu 1,516.
Jelasnya, ini diikuti nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (643) dan kesalahan ekzos tidak mengikut spesifikasi (317).
“Operasi ini akan dijalankan secara berterusan bagi impak kesedaran serta mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.- MalaysiaGazette