JOHOR BAHRU -Kerajaan negeri wajar memberi bantuan tambahan kepada mangsa banjir yang dikategorikan rugi keseluruhan (total loss) selepas semua harta benda mereka musnah akibat bencana alam itu.
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, ini kerana kelompok tersebut hilang segalanya apabila kawasan tempat tinggal mereka dilanda banjir dan tidak sempat menyelamatkan barangan berharga termasuk kenderaan.
“Taman Tampoi Indah dan Taman Tampoi Utama dalam kawasan Parlimen Pulai antara paling teruk terjejas akibat banjir yang melibatkan ratusan penduduk.
“Mereka yang tinggal di taman ini, tidak pernah berdepan isu banjir dan mereka tidak bersedia apabila musibah ini berlaku. Ini menyebabkan mereka tak sempat selamatkan barangan berharga termasuk kenderaan mereka.
“Bantuan RM3,000 untuk ketua isi rumah (KIR) yang diumumkan Menteri Besar itu bagus tapi tidak memadai bagi mereka yang mengalami kerugian kerugian kira-kira RM20,000 disebabkan total loss, harus ada sumbangan tambahan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Pakatan Harapan Johor bersama-sama Pengamal Media di sini malam tadi.
Terdahulu, Suhaizan mengadakan lawatan dan memberi sumbangan kepada 15 ketua komuniti yang terjejas banjir di Taman Tampoi Indah 3, di sini.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan kerajaan negeri bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut Gelombang Kelima berjumlah lebih RM11 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.
Onn Hafiz dilaporkan berkata, bantuan RM3,000 akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri kepada 3,749 KIR yang berdaftar di pusat pemindahan sementara di seluruh daerah terjejas banjir.
Menurut Suhaizan, bagi mangsa banjir di kawasan perumahan tersebut, rata-rata tidak mengambil perlindungan insurans rumah dan akan terbeban masalah kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Atas dasar simpati itu, kena ada sumbangan istimewa kepada mangsa banjir total loss ini, kehidupan mereka berubah sekelip mata dan amat terkesan akibat bencana alam ini.
“Soal jumlah sumbangan itu, biarlah kerajaan yang putuskan berapa jumlah yang bersesuaian, bantuan RM3,000 itu tidaklah mencukupi. Anggaran kasar kerugian yang dialami adalah kira-kira RM20,000 bagi setiap keluarga,” ujarnya.- MalaysiaGazette