JOHOR BAHRU – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh tidak berhasrat bertanding jawatan di peringkat tertinggi sebaliknya hanya mahu mengekalkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti, bermula April ini.
Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, beliau turut akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua PKR Cabang Ledang yang ketika ini tidak akan dicabar oleh mana-mana calon lain.
“Saya penyandang Ketua Cabang Ledang dan akan pertahankan jawatan itu. Setakat yang saya maklum, tidak ada pencalonan lain dan hanya perlu tunggu keputusan rasmi mengenai kemenangan itu.
“Saya juga adalah penyandang kepada jawatan Majlis Pimpinan Pusat dan saya telah membuat pengumuman dalam mesyuarat agung baru-baru ini untuk pertahankan jawatan yang dipegang sejak penggal lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Pakatan Harapan (PH) Johor Bersama Pengamal Media, di sini malam tadi.
Turut hadir Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor yang juga Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan.
Syed Ibrahim berkata, pencalonan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat itu belum lagi dibuka pemilihan dan akan bermula di peringkat cabang dan diikuti dengan pencalonan di peringkat Pusat.
Katanya, walaupun tidak tahu siapa akan mencabarnya bagi jawatan itu, beliau yakin mampu mengekalkan jawatan tersebut buat penggal kedua.
“Saya percaya kedudukan sebagai Pengerusi Keadilan Negeri Johor, Ketua Cabang, Ahli Parlimen, setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Perpaduan itu akan memberi kelebihan yang saya boleh terus sumbangkan kepada parti.
“Bagi jawatan Pengerusi Keadilan Negeri Johor, ia tidak ada pemilihan dan jawatan tersebut adalah lantikan oleh Presiden parti. Jadi buat masa ini, mana-mana jawatan Majlis Pimpinan Pusat dan lantikan Presiden masih kekal sehingga kongres berlangsung,” ujarnya.- MalaysiaGazette