Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan duit raya kepada pelajar kolej ketika hadir pada Program Iftar Kasih Ukhwah Yayasan TZA ketika di Kolej Komuniti Kelana Jaya, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan sudah mendapat ‘restu’ Perdana Menteri untuk bertanding bertanding jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kali ini.

Tengku Zafrul akan menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai menteri pada Disember ini.

Menurut Tengku Zafrul, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi pertimbangan tersebut untuk membolehkannya menumpukan perhatian penuh kepada pembangunan badminton negara selepas meninggalkan Kabinet pada Disember depan. 

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM yang telah mencalonkan saya sebagai salah satu calon Presiden BAM bagi tempoh 2025 hingga 2030.

“Saya juga berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah bersetuju memberi saya peluang untuk bertanding, dengan mengambil kira bahawa saya masih berkhidmat sebagai menteri sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Penasihat Yayasan TZA, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berucap pada Program Iftar Kasih Ukhwah Yayasan TZA ketika di Kolej Komuniti Kelana Jaya, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 MAC 2025.

Untuk makluman, Tengku Zafrul berkata demikian selepas disoal media bagaimana beliau sebagai anggota pentadbiran berstatus menteri bertanding jawatan dalam persatuan sukan.

Tengku Zafrul ditemui pada program ‘Iftar Kasih Ukhwah Yayasan TZA bersama Kolej Komuniti Kelana Jaya yang turut mendapat perkenan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah malam ini.

Terdahulu, Tengku Zafrul melahirkan rasa terharu selepas mendapat pengiktirafan BAM selepas dicalonkan sebagai calon Presiden bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang telah menerajui BAM sejak 2017.

Pemangku Presiden BAM Datuk V Subramaniam mengumumkan bahawa majoriti ahli majlis BAM mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul sebagai presiden baharu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here