KUALA LUMPUR – Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz meluahkan terharu dan rendah diri selepas dicalonkan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyifatkan pencalonan itu sebagai satu penghormatan besar dan berterima kasih kepada BAM atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Saya menerima pencalonan itu dengan penuh rasa hormat dan sekiranya terpilih, saya berjanji akan berkhidmat dengan sepenuh kemampuan untuk BAM dan sukan badminton demi para penyokong di seluruh Malaysia,” katanya dalam laman X, hari ini.
Pengumuman pencalonan Tengku Zafrul dibuat oleh Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, selepas Mesyuarat Majlis BAM yang berlangsung di Bukit Kiara, pagi tadi.
Menurut Subramaniam, majoriti ahli majlis menyatakan sokongan mereka terhadap Tengku Zafrul sebagai calon presiden baharu dan percaya bahawa beliau adalah individu yang tepat untuk menerajui BAM.
Pencalonan Tengku Zafrul tidak mengejutkan kerana namanya telah lama dikaitkan dengan jawatan tersebut sejak bekas presiden, Tan Sri Norza Zakaria, menyatakan hasratnya untuk berundur pada 2023.
Pada asalnya, beliau dijangka mengambil alih kepimpinan lebih awal, namun Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, meminta Norza untuk terus memimpin sehingga selepas Sukan Olimpik Paris.
Subramaniam menjelaskan bahawa BAM memerlukan seorang pemimpin yang berpengaruh dan berpengalaman untuk meneruskan legasi kepimpinan terdahulu.
“BAM bukan tempat untuk berpolitik, dan kepentingan badan induk badminton negara itu perlu diutamakan.
“Tengku Zafrul bukan sahaja seorang tokoh korporat yang dikenali ramai, malah kini seorang menteri, menjadikannya calon yang mempunyai pengalaman luas untuk menerajui BAM,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Subramaniam turut mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei akan datang. – MalaysiaGazette