KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digesa untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan trafik serta memperkukuh penguatkuasaan keselamatan jalan raya sempena perayaan Aidilfitri minggu depan.
Bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Shahrim Tamrin berkata, pendekatan sedia ada dalam menangani kesesakan, kemalangan jalan raya tidak lagi berkesan dan perlu diperbaharui.
Cadangan tersebut bagi mengurangkan kadar kematian serta memperbaiki kelancaran trafik.
Menurutnya, kajian MIROS sejak 10 tahun lalu mendapati bahawa kehadiran anggota penguatkuasa ketika musim perayaan adalah terlalu rendah, sekali gus tidak menimbulkan kesedaran atau rasa takut dalam kalangan pengguna jalan raya.
“Tahun ini saya jangka kesesakan lalu lintas tahun ini lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya sekiranya pihak berkuasa masih menggunakan kaedah pengawasan yang sama tanpa inovasi atau strategi baharu.
“Kehadiran anggota penguatkuasa dalam pengurusan trafik, terutamanya di lebuh raya utama dan jalan negeri, masih kurang ketara. Apa yang sering berlaku ialah ketiadaan kesepakatan antara PDRM dan JPJ dalam menguruskan trafik, sedangkan keadaan ini adalah sesuatu yang berulang setiap kali musim perayaan.
“Lokasi-lokasi titik kesesakan seperti persimpangan lampu isyarat di pekan dan jalan sekunder di luar bandar perlu diberi perhatian khusus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrim turut mempersoalkan kurangnya anggota penguatkuasa di lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya KL-Karak untuk memantau aliran trafik di kawasan-kawasan sesak seperti Nilai, Seremban, Rawang, Tapah dan Juru.
Dakwa beliau, ini juga mengakibatkan kesesakan melimpah ke bandar-bandar kecil seperti Bentong, Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Kuantan, Kuala Kangsar dan Taiping, menyebabkan perjalanan pulang ke kampung menjadi lebih sukar.
Dalam aspek keselamatan jalan raya, Shahrim turut menekankan bahawa kadar kematian tertinggi semasa musim perayaan melibatkan penunggang motosikal.
“Statistik menunjukkan bahawa daripada purata 24 kematian jalan raya sehari, 19 daripadanya membabitkan penunggang motosikal. Namun, penguatkuasaan terhadap golongan ini masih longgar dan tiada pendekatan jelas daripada pihak berkuasa.
“Kehadiran JPJ lebih tertumpu kepada pemeriksaan bas ekspres, sedangkan pengguna motosikal lebih berisiko kehilangan nyawa di jalan raya.
“Isu pemakaian tali pinggang keselamatan di tempat duduk belakang serta penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak juga tidak dipantau dengan serius oleh penguatkuasa,” ujarnya.
Shahrim menggesa PDRM dan JPJ supaya mengambil langkah lebih drastik dalam pengurusan trafik dan penguatkuasaan keselamatan jalan raya dan tidak bersetuju ribuan saman dikeluarkan setiap musim perayaan mencerminkan kejayaan penguatkuasaan jalan raya.
“Apa yang berlaku ialah pesalah trafik tetap mengulangi kesalahan mereka kerana tiada tindakan susulan seperti senarai hitam atau pendakwaan di mahkamah.
“Malah, kempen diskaun saman yang kerap diadakan setiap tahun hanya memberikan isyarat bahawa kerajaan tidak serius dalam mendisiplinkan pengguna jalan raya,” tegasnya.
Justeru, beliau menyeru pihak berkuasa untuk lebih kreatif dan berkesan dalam menangani kesesakan serta meningkatkan keselamatan jalan raya, bagi memastikan perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri tahun ini lebih selamat dan lancar. -MalaysiaGazette
Akhirnya ada juga yg berani menegur. Satu lg cadangan, andai penguatkuasa tidak mencukupi, utk pemantauan di lebuhraya, minta la syarikat konsesi tambah orang untuk bantu prnguatkuasa. Boleh letak pengawal lalulintas kat hotspot berlaku kesesakan, potong barisan dan juga di semua plaza tol.
Isu rfid tak detect, baki kad habis adalah punca kesesakan yang remeh temeh dan boleh selesai mudah jika ada wakil konsesi yang boleh bantu segera.