KUANTAN- Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) AFA PRIME Berhad menjangkakan peningkatan kenderaan di kedua-dua lebuh raya berkenaan mulai 27 Mac hingga 6 April ini sempena Aidilfitri.
Pengarah Eksekutifnya Radzimah Mohd Radzi KLK dan LPT1 dijangka akan mengalami kemuncak perjalanan dari arah timur bermula Khamis ini hingga 30 Mac sementara aliran balik arah barat pula dijangkakan dari 4 hingga 6 April.
“Sepanjang tempoh ini, jumlah trafik harian KLK dijangka meningkat sebanyak 70 peratus daripada 110,000 kepada 187,000 kenderaan manakala LPT1 berpotensi mengalami peningkatan sebanyak 83 peratus daripada 41,000 kepada 75,000 kenderaan sehari.
“Bagi menampung peningkatan trafik ini, AFA PRIME Berhad sedang meningkatkan kapasiti operasinya dengan menambah tenaga kerja bahagian tol dan bahagian trafik sebanyak 21 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berkata pasukan rondaan, unit Kenderaan Rondaan Lebuhraya (EMPV) dan pegawai RELA akan ditempatkan di plaza tol utama, Rehat dan Rawat (R&R) serta lokasi kesesakan utama bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik.
Radzimah berkata Pusat Kawalan Trafik (TCC) juga menyediakan pemantauan masa nyata dan menyelaras tindak balas terhadap keadaan trafik manakala perkhidmatan trak tunda dan respons kecemasan 24 jam akan ditempatkan di lokasi strategik bagi memberikan bantuan segera.
Selain daripada inisiatif pengurusan trafik, beliau berkata kemudahan di sepanjang KLK dan LPT1 dipertingkatkan bagi memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya beberapa kawasan rehat yang terpilih akan dilengkapi dengan tandas mudah alih dan ruang parkir tambahan.
“…serta peningkatan jumlah kakitangan pembersihan di semua R&R bagi menampung jumlah pengunjung yang lebih tinggi. Selain itu, semua stesen minyak di sepanjang lebuh raya akan beroperasi 24 jam. Hari Raya adalah waktu untuk berkumpul, bermuhasabah dan bergembira.
“Ketika keluarga memulakan perjalanan untuk meraikan bersama orang tersayang, keutamaan kami adalah memastikan perjalanan mereka lancar, selamat dan bebas kebimbangan. Dengan pengurusan trafik dipertingkatkan, peningkatan tenaga kerja, dan pemantauan berterusan, kami nekad menjadikan musim perayaan ini satu pengalaman yang lancar bagi semua pengguna lebuh raya,” katanya.
Dalam pada itu, AFA PRIME Berhad dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA) di bawah inisiatif Jom Balik Kampung, akan mengagihkan 2,000 kit iftar kepada pengguna jalan raya di Plaza Tol Gombak pada Khamis ini.
— BERNAMA