KUALA LUMPUR – Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya memulihkan 89 projek perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM6.48 bilion bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 82 projek perumahan swasta sakit berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance – CCC) dan tujuh projek sakit kembali lancar.
Bagaimanapun, ujarnya, bagi projek perumahan swasta terbengkalai, tiada projek yang berjaya dikeluarkan daripada senarai setakat ini.

Secara keseluruhan sehingga Februari lalu, tambah beliau, TFST telah mengesan dan memantau 230 projek perumahan swasta lewat, 347 projek perumahan swasta sakit dan 116 projek perumahan swasta terbengkalai.
“Jumlah ini menunjukkan terdapat pengurangan bagi bilangan projek perumahan sakit, namun terdapat sedikit peningkatan bagi bilangan projek perumahan lewat.
“Bilangan projek perumahan terbengkalai juga bertambah dan terdapat tiga projek perumahan swasta telah disahkan terbengkalai pada Januari lalu melibatkan negeri Selangor, Terengganu dan Pahang.
“Kesemua projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai ini melibatkan GDV sebanyak RM107.04 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurut Aiman Athirah, pihaknya menjangkakan sebahagian besar pemulihan projek-projek yang dilaksanakan di bawah Inisiatif Belanjawan 2023 akan berjaya memperoleh CFO/CCC pada tahun ini.
Katanya, ia melibatkan 13 projek di mana tiga projek dijangka pada suku tahun pertama, lapan projek pada suku tahun kedua serta masing-masing satu projek pada suku tahun ketiga dan satu projek lagi pada suku tahun keempat tahun ini.
“Bagi memenuhi obligasi sosial KPKT, beberapa projek perumahan swasta terbengkalai menggunakan peruntukan pembangunan pada tahun 2025 dengan kerjasama agensi pelaksana di peringkat negeri akan terus dipergiatkan.
“KPKT juga akan memohon agar peruntukan ini dapat dipertimbangkan lagi bagi projek-projek yang menepati kriteria pada tahun 2026 kelak.
“Melalui inisiatif Kerajaan MADANI ini, diharapkan agar lebih banyak pembeli teraniaya dapat dibantu,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) akan terus memantau pemulihan projek perumahan dengan lebih terperinci memandangkan ia merupakan inisiatif yang memperoleh kelulusan daripada Kementerian Kewangan.
Jelasnya, KPKT juga bersedia bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan serta sentiasa komited untuk menangani masalah projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara bagi menjayakan agenda utama KPKT demi kesejahteraan para pembeli rumah yang terjejas. – MalaysiaGazette