KUALA LUMPUR – Seorang anggota tentera meninggal dunia selepas dipercayai mengalami kecederaan dalaman akibat didera oleh anggota senior di sebuah kem tentera di Miri, Sarawak, kelmarin.
Anggota berkenaan berusia 21 tahun dan berasal dari Puchong, Selangor.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, mengesahkan kejadian itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai status anggota senior terbabit sama ada telah ditahan untuk siasatan.
Difahamkan, kejadian berlaku pada pukul 2.15 pagi Isnin ketika mangsa yang sedang tidur di berek bujang dikejutkan oleh dua anggota senior untuk bersahur.
Sebelum makan, mangsa diarahkan melakukan ‘commando rest’ (pacak kepala di lantai dengan tangan ke belakang) selama dua minit serta tekan tubi sebanyak 20 kali.
Selepas latihan tersebut, mangsa yang berpeluh berdiri seketika sebelum tiba-tiba rebah pengsan. Kejadian itu kemudian dilaporkan kepada seorang anggota berpangkat Koperal yang juga ketua bilik bujang di berek berkenaan.
Mangsa segera dibawa ke Hospital Miri, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 3.05 pagi. – MalaysiaGazette