Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menafikan dakwaan terlibat dalam skandal rasuah di Sabah.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, beliau dimaklumkan terdapat dakwaan yang disebarkan menerusi media sosial yang mengaitkan beliau dengan aktiviti rasuah tersebut.

Sehubungan itu, kata Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkenaan, beliau akan membuat laporan polis sementara menunggu nasihat peguam berhubung dakwaan tersebut.

“Saya dimaklumkan ada mesej fitnah diviralkan yang, antara lain, melibatkan nama saya di bulan Ramadan ini.

“Syukur salah seorang yang menyebarkan fitnah dalam bentuk cerita dongeng ini dikenal pasti sebagai mantan wakil rakyat yang menghantar mesej tersebut kepada pelbagai pihak yang kemudiannya merujuk kepada saya.

“Sementara menunggu nasihat daripada peguam, saya akan mulakan dengan laporan polis berdasarkan kepada mesej melalui whatsapp yang beliau hantar,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.

Bagaimanapun, Armizan tidak menjelaskan lebih lanjut berkenaan fitnah yang didakwa itu serta pihak yang terlibat menyebar perkara tersebut menerusi media sosial.

Namun beberapa laporan akhbar memetik hantaran di Facebook yang merujuk seseorang yang dikenali sebagai “Datuk Z” yang mendakwa Armizan terlibat dalam rundingan antara sebuah syarikat di Indonesia dan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) berhubung lesen carigali mineral di negeri itu.

Isu skandal rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila rakaman video yang didakwa memaparkan urusan rasuah berkaitan projek cari gali mineral di negeri itu tular di media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here