Ir. Razali Kassim

KUANTAN – Pengguna jalan raya perlu menjadikan amalan membawa dan menyimpan sampah di dalam kereta daripada membuangnya di tengah jalan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, amalan itu bukan sahaja dapat menjamin kebersihan jalan malah dapat mengelakkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya.

“Sikap mengumpulkan semua sampah (dalam beg plastik) sebelum dibuang ke dalam tong sampah sebenarnya mudah jika diamalkan.

“Kita tidak mahu lagi perbuatan membuang sampah di atas lebuh raya menjejaskan persekitaran sekali gus menyumbang kepada kemalangan jika sampah ‘terbang’ atas jalan mengganggu pemanduan.

“Ini kerana sebelum ini ada pihak tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan itu sehingga tular dan menjadikan kawasan di tepi jalan kotor dipenuhi sampah-sarap,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Dalam pada itu Razali berkata, Kerajaan Pahang menyasarkan sifar kemalangan menjelang musim perayaan ini.

Katanya biarpun mustahil namun pihaknya optimis jika semua pihak memainkan peranan sebagai pengguna jalan raya dengan baik.

“Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail baru-baru ini, dan berharap Syawal dirai tanpa tragedi kemalangan maut.

“Kalau semua ambil sikap toleransi dan lebih berhati-hati dalam pemanduan saya percaya kita dapat mengurangkan risiko nahas jalan raya,” tambahnya.

Sementara itu, Razali berkata, pengguna dinasihatkan untuk merangka perjalanan dengan bijak dan memastikan kenderaan diselenggara dengan baik.

Semua pengguna jalan raya dinasihat memanfaatkan penggunaan hentian rehat dan rawat (R&R) yang menyediakan pelbagai kemudahan.

“Semak jadual perjalanan anda, periksa dan servis kenderaan, pastikan tayar dan signal berfungsi, dan paling penting kesihatan pemandu.

“Pastikan pemandu mempunyai rehat yang cukup dan berstamina bagi mengendalikan pemanduan yang jauh,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan dianggarkan 3.14 juta kenderaan akan memasuki negeri ini menjelang Hari Raya Aidilfitri. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

Sultan Pahang titah Kerajaan Pusat pertimbang bina R&R di lebuh raya LTU

Pahang sediakan empat R&R sementara di LTU menjelang Aidilfitri

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast