DATUK Seri Hamzah Zainuddin menerima borang penyertaan kira-kira 100 masyarakat Cina dan India untuk menyertai Bersatu di Bentong, Pahang, kelmarin. - Foto: FB Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung Pemuda MCA, Leong Kim Soon membuat keputusan keluar parti itu serta-merta dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Borang penyertaan Kim Soon yang juga bekas Ketua Pemuda MCA itu bersama-sama kira-kira 100 lagi bekas ahli MCA diserahkan kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu majlis di Bentong, Pahang, kelmarin.

Sementara itu, Hamzah menerusi catatan di laman sosial Facebooknya mengalu-alu dan mengucapkan selamat datang kepada Kim Soon ke dalam keluarga Bersekutu Bersatu.

Menurut beliau, penyertaan Kim Soon bersama-sama lebih 100 masyarakat Cina dan India di Bentong itu merupakan manifestasi nilai inklusiviti Bersatu sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

“Leong merupakan anak jati Bentong dan berpengalaman luas dalam politik.

“Beliau pernah menjawat beberapa jawatan penting antaranya Setiausaha Agung Pemuda MCA dan Ketua Pemuda MCA Pahang,” katanya.

Sementara itu, menurut laporan akhbar Cina, Kim Soon telah dilantik sebagai ketua sayap Bersekutu Bersatu Bentong dan Pahang yang dianggotai oleh ahli-ahli bukan Bumiputera.

Memetik kenyataan Hamzah, Ketua Pembangkang itu yakin penyertaan Kim Soon dalam Bersatu akan meningkatkan peluang parti itu merampas kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Kerusi Parlimen Bentong sebelum ini dikuasai Barisan Nasional (BN) selama empat penggal menerusi bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai sebelum dirampas Wong Tack daripada DAP pada pilihan raya umum 2018.

Bagaimanapun, kerusi Parlimen itu kini disandang Young Syefura Othman yang memenanginya pada pilihan raya umum 2022 dalam persaingan yang turut disertai Wong Tack sebagai calon Bebas.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here